KUALA LUMPUR - Kedudukan sasterawan-sasterawan negara yang terpinggir sebelum ini kerana mempunyai ideologi politik berbeza dengan kerajaan terdahulu bakal diberi perhatian.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu dibincangkan selepas beliau mengunjungi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said atau Pak Samad di kediamannya di Pangsapuri Bangsar Utama, di sini, kira-kira jam 1.30 petang hari ini.

"Hasil perbincangan tersebut antaranya mengenai kedudukan sasterawan-sasterawan negara yang ada dalam kalangan mereka yang tidak diberi perhatian dan tidak dibela hanya kerana terlalu vokal atau mempunyai fahaman politik yang berlainan daripada kerajaan terdahulu.

"Saya janji akan bawa Pak Samad kembali ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta mempromosikan karya-karya agung sasterawan negara itu untuk dijadikan sebagai bahan bacaan generasi muda," katanya.

Pertemuan serta perbincangan santai itu berlangsung kira-kira dua jam.