KUALA TERENGGANU – Polis digesa mebgambil tindakan terhadap pihak penganjur Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi tetap berkeras menganjurkan program tersebut, esok.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, tindakan tersebut boleh memberi pengajaran kepada pihak lain terutama parti-parti politik untuk tidak melakukan perhimpunan dengan sewenang-wenangnya pada masa depan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Bagi saya, apabila sudah tidak dapat permit tetapi penganjuran tetap berjalan, polis perlu ambil tindakan tegas supaya beri pengajaran kepada orang lain tidak kiralah kalau parti Umno atau parti lain.

“Jangan ada pilih kasih. Kita juga tidak mahu orang kata kalau Umno diberi kebenaran tetapi kalau pembangkang tidak beri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Pakatan Harapan yang tetap meneruskan Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, di sini, esok.

Timbalan presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, kru keselamatan akan bekerjasama dengan polis untuk membantu melancarkan aliran trafik di sekitar lokasi perhimpunan dan akan menulis surat untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, polis tidak membenarkan penganjuran himpunan tersebut yang akan dianjurkan di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Mohd Johari bagaimanapun menyifatkan penganjuran himpunan tersebut sebagai tindakan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat berikutan ‘agak tenggelam’ ketika ini.

Beliau tidak menolak, pihak terlibat juga seakan-akan ketandusan isu untuk memburuk-burukkan pemerintah.

Katanya, selain penganjuran tersebut, pembangkang sanggup mengadakan ‘flashmob’ sehingga mengganggu dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna-pengguna jalan raya lain.

“Mereka sebenarnya cuba mencetuskan isu kerana tiada isu untuk dimainkan, jadi mereka mahu tunjukkan mereka wujud sedangkan ia bukanlah budaya kita tetapi budaya luar,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak suara demokrasi yang diamalkan dalam negara namun meminta semua pihak mendapat kebenaran arahan pihak berkuasa serta memilih lokasi sesuai yang tidak mengganggu urusan seharian pihak lain di kawasan terlibat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui bahawa beliau meluat dengan sikap majoriti pemimpin kerajaan, sehingga mendorongnya menyertai parti Bersatu.
  • PETALING JAYA - Kehadiran rakyat Malaysia ke Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi memberi petanda positif kepada negara secara amnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.