KUALA LUMPUR  - Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2018/1440 Hijrah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 6.50 petang itu disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Majlis yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abdul Manaf Mat itu dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun 1439 Hijrah dan doa awal tahun 1440 Hijrah sebelum diteruskan dengan solat Maghrib dan diikuti bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Isyak berjemaah.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat mencemar duli menghadiri Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 2018/1440 Hijrah di Masjid Wilayah Persekutuan malam ini.

Mujahid dalam ucapannya pada majlis itu, berkata, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ membawa mesej penting yang perlu dihayati bersama.

Katanya, mesej tersebut membawa keperluan bagi menyampaikan nilai-nilai murni sebagai wadah pentarbiahan umat secara berterusan.

“Keindahan Islam perlu kita tampilkan sehingga Islam dapat dijadikan contoh oleh umat keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Mesej Islam perlu dipersembahkan dengan penuh berhikmah manakala umat perlu disantuni melalui nilai-nilai keinsanan seperti berkasih sayang, bertoleransi, saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Kira-kira 10,000 umat Islam hadir pada majlis itu.

Terdahulu, para hadirin mengikuti program bual bicara khas Maal Hijrah yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Program itu menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai penceramah jemputan.

Sambutan Maal Hijrah turut diadakan di beberapa negeri malam ini.

Di SEREMBAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin, berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang diadakan di Masjid Negeri.

Keberangkatan tiba baginda pada 6.30 petang disambut Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan isteri Wan Hasni Wan Yusof untuk bersama-sama 2,000 jemaah mengadakan bacaan akhir tahun dan awal tahun serta solat berjemaah, yang dipimpin Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Di TUMPAT, Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1439 Hijrah dan Awal Tahun 1440 Hijrah di Masjid Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu, sekali gus merasmikan majlis sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1440 Hijrah di masjid sama.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Anggota Exco Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Ahmad ketika berucap pada majlis itu mengajak umat Islam bersama-sama berganding bahu dan bersatu padu agar apa jua usaha yang menggugat akidah ummah, meruntuh moral kehidupan, memecah keharmonian dan keamanan negara, dapat dibendung dan digagalkan.

Di SHAH ALAM, sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dihadiri Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohd Kushrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Haris Karim. - Bernama