KUALA LUMPUR - Sebanyak 88,917 unit pembinaan kediaman mampu milik di bawah program Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) berjaya dibina sehingga Februari lalu, melepasi sasaran asal iaitu 80,000 unit menjelang tahun 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jumlah unit itu yang melibatkan 124 projek di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, merangkumi projek di bawah kategori Siap, Dalam Pembinaan dan Kelulusan Perintah Pembangunan.

"Daripada jumlah projek itu, sebanyak 15 projek atau 8,824 unit telah siap dibina dan sedia untuk diduduki antaranya seperti di Residensi Pandan Mas, Residensi Sentul Mas, Suasana Lumayan dan Residensi Rampai.

"Walaupun telah melepasi sasaran unit, kami akan teruskan pembinaan (rumah mampu milik) jika ada permintaan daripada orang ramai," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit Rumawip Kondominium Kiara Kasih, di sini hari ini.

Projek kondominium 40 tingkat yang dibina dengan usahasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan syarikat UEM Sunrise Berhad tersebut melibatkan 719 unit yang setiap satunya berkeluasan 850 kaki persegi.

"Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu tempat letak kenderaan dan dijual pada harga hanya RM300,000 seunit dan dijangka siap pada tahun 2022.

"Kemudahan yang selesa juga disediakan antaranya kolam renang, gimnasium, kawasan riadah, bilik bacaan dan surau selain kawasan persekitaran yang strategik dengan pelbagai pengangkutan awam yang kondusif untuk penduduk," katanya.- Bernama