Malaysia antara negara serantau terawal tangani buli melalui mekanisme keadilan restoratif

KUALA LUMPUR - Malaysia menjadi antara negara terawal di rantau ini yang mempunyai mekanisme khusus berasaskan keadilan restoratif bagi menangani isu buli menerusi penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 dan penubuhan Tribunal Antibuli yang mula beroperasi pada 16 Jun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tribunal itu diwujudkan sebagai mekanisme khas untuk mendengar dan menguruskan aduan buli dengan lebih cepat, selain memberikan penekanan kepada pemulihan mangsa serta mendidik pelaku berbanding hanya mengenakan hukuman.
"Malaysia antara negara terawal di rantau ini yang menyediakan mekanisme khusus penyelesaian aduan berasaskan pemulihan dalam menangani isu buli. Apa yang penting, tribunal menekankan keadilan restoratif berbanding hukuman punitif semata-mata.
"Pendekatan ini memastikan pelaku diberikan peluang untuk berubah manakala mangsa mendapat pembelaan serta keadilan yang sewajarnya,” katanya ketika memberikan penerangan pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Azalina berkata, Akta Antibuli 2026 diwartakan pada 23 Jan dan berkuat kuasa pada 16 Jun, bagi memperkenalkan tanggungjawab undang-undang terhadap pihak yang gagal mengambil tindakan ke atas perbuatan buli.
Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 2 akta itu, mangsa yang dilindungi merangkumi kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun, pelajar yang sedang mengikuti pendidikan atau latihan di institusi pendidikan serta kanak-kanak yang sedang ditahan, dipulihkan atau dilindungi di institusi berkaitan.
Beliau berkata, tribunal yang ditubuhkan di bawah Seksyen 24 akta itu mempunyai bidang kuasa mendengar serta menguruskan aduan buli, sekali gus menyediakan saluran penyelesaian yang lebih pantas kepada mangsa.
Dari segi keanggotaan, beliau berkata tribunal diketuai Presiden Nurul Husna Awang dan Timbalan Presiden Dr Gan Chi Keong yang dilantik dalam kalangan pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selain 56 anggota terdiri daripada pakar bidang pendidikan dan kanak-kanak yang bertindak sebagai panel secara bergilir.
Dalam pada itu, Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri turut membangunkan sistem aduan elektronik e-TAP yang membolehkan pengadu memfailkan aduan buli dan responden mengemukakan penyata balas secara dalam talian.
Selain itu, tribunal turut disokong oleh Peraturan Tribunal Antibuli 2026 yang bukan sahaja memperincikan tatacara pemfailan aduan, pengeluaran saman saksi dan pengendalian prosiding tribunal, malah menetapkan garis panduan khusus bagi kes yang melibatkan kanak-kanak bagi memastikan aspek emosi dan psikologi mereka sentiasa dipelihara.
"Tribunal Antibuli akan bekerjasama dengan Akademi Pendidikan Negara (APN) dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) bagi melaksanakan siri program pendidikan secara berterusan melibatkan warga pendidik, ibu bapa serta pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Azalina berkata, walaupun ketika ini akta itu memberikan tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak dan individu bawah 18 tahun, kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk memperluas skop perlindungan kepada mangsa berusia 18 tahun ke atas jika terdapat keperluan pada masa hadapan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
