DPMM sifatkan kelonggaran e-invois langkah tepat

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e-invois sehingga 31 Disember 2027 membuktikan kesediaan Kerajaan Madani mendengar pandangan komuniti perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang memerlukan tempoh penyesuaian bagi melaksanakan transformasi digital dalam pengurusan percukaian.
Pandangan itu disuarakan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon yang turut menyifatkan keputusan kerajaan tidak mengenakan penalti terhadap pembayar cukai yang membuat semakan, pembetulan atau kemas kini e-invois secara sukarela sepanjang tempoh berkenaan sebagai langkah yang memberi ruang kepada usahawan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem baharu itu.
Beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Pengakuan Sukarela e-invois sehingga 31 Disember 2027, yang disifatkan sebagai langkah proaktif dan pragmatik bagi memastikan pelaksanaan sistem e-Invois berjalan secara lebih teratur, inklusif serta mesra perniagaan.
Selain Program Pengakuan Sukarela, Presiden DPMM itu turut menghargai langkah kerajaan mempercepatkan tuntutan elaun modal bagi perbelanjaan berkaitan pelaksanaan e-invois kepada tempoh satu tahun serta keputusan menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta pembayar cukai dan membantu mengurangkan beban pematuhan dalam kalangan usahawan kecil.
Norsyahrin berkata, langkah yang diumumkan kerajaan itu tepat pada masanya dan mencerminkan komitmen dalam memastikan agenda pendigitalan negara dilaksanakan tanpa membebankan komuniti perniagaan.
"DPMM merakamkan penghargaan kepada kerajaan Madani atas pendekatan yang lebih fleksibel dan berpaksikan realiti dunia perniagaan.
"Program Pengakuan Sukarela e-invois memberikan keyakinan kepada usahawan untuk melaksanakan sistem baharu ini secara lebih tersusun tanpa kebimbangan dikenakan tindakan penalti sepanjang tempoh penyesuaian," kata dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, pelaksanaan e-invois merupakan satu pembaharuan penting dalam usaha meningkatkan ketelusan, kecekapan serta integriti sistem percukaian negara, namun kejayaannya bergantung kepada tahap kesiapsiagaan perusahaan, khususnya PMKS yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.
"Transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan usahawan dari segi kos, pengetahuan, infrastruktur digital dan tenaga kerja.
"Oleh itu, insentif serta kelonggaran yang diumumkan kerajaan akan memberi ruang kepada PMKS untuk membuat persediaan yang lebih rapi sebelum pelaksanaan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata, DPMM komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik kerajaan dengan mempergiatkan program kesedaran, advokasi, latihan dan pembangunan kapasiti berkaitan e-Invois kepada usahawan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.
Katanya, melalui rangkaian cawangan DPMM di seluruh Malaysia, pelbagai program penerangan, bengkel, seminar dan sesi libat urus akan terus diperkasakan bagi memastikan ahli DPMM serta komuniti PMKS memperoleh kefahaman menyeluruh mengenai pelaksanaan e-Invois, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan dan kesiapsiagaan mereka.
DPMM turut berharap kerajaan akan meneruskan sesi libat urus secara berkala bersama dewan perniagaan, persatuan industri dan pemain industri supaya sebarang cabaran pelaksanaan dapat dikenal pasti serta diselesaikan secara konstruktif.
Pada masa sama, DPMM menyeru usahawan memanfaatkan tempoh Program Pengakuan Sukarela itu untuk meningkatkan pengetahuan, menambah baik sistem perakaunan, mendapatkan khidmat nasihat profesional serta melaksanakan penyesuaian operasi syarikat masing-masing.
Menurut beliau, tempoh yang diberikan kerajaan wajar dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh tadbir urus perniagaan dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
DPMM percaya gabungan dasar kerajaan yang responsif, sokongan institusi, kerjasama sektor swasta serta kesiapsiagaan komuniti perniagaan akan memastikan pelaksanaan e-invois mencapai objektifnya, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan yang lebih telus, berdaya tahan dan mampan demi kemajuan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

