Musim PRN, ahli politik digesa tidak politikkan isu hak keistimewaan Melayu

KUALA LUMPUR – Perlindungan terhadap hak keistimewaan orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak tertakluk kepada mana-mana parti politik yang memegang tampuk kuasa, kata Timbalan Menteri Perpaduan, R Yuneswaran.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan peruntukan berkaitan perkara yang dilindungi tidak boleh diubah dengan mudah kerana sebarang pindaan memerlukan majoriti dua pertiga sokongan di Parlimen serta perlu melalui banyak proses.
Beliau juga menggesa ahli politik supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecahbelahkan masyarakat berhubung perkara dalam perlembagaan selain menekankan tanggungjawab mereka sebagai penggubal dasar untuk mempromosikan perpaduan negara.
“Saya sebagai Timbalan Menteri harus menjaga keharmonian, bukan sahaja di kalangan masyarakat tetapi termasuk dalam parti-parti kerajaan sedia ada dan rakan-rakan dari pihak pembangkang.
“Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan perkara itu jelas. Kita juga tahu sekarang musim pilihan raya, jadi saya cadangkan, alu-alukan dan juga menyarankan kepada ahli-ahli politik, elakkanlah (bangkitkan perkara sebegini) ya.
“Kita tahu sebab kita semua ni adalah pembawa dasar jadi perlu sangat berwaspada dan berhati-hati dalam ‘articulate’ apa-apa isu yang ada termaktub dalam perlembagaan, itu jelas,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Dia berkata demikian menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang merujuk kepada kenyataan terbaharu bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mendakwa hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mampu melindungi kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Keluhuran perlembagaan ialah prinsip undang-undang yang menetapkan perlembagaan sebagai kuasa undang-undang tertinggi di Malaysia.
Ia sekali gus menyebabkan mana-mana undang-undang atau kontrak yang melanggar perlembagaan menjadi terbatal dan tidak sah, mengikut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Khairy pada Ahad lalu dilapor menggesa pengundi Melayu-Islam di Negeri Sembilan untuk mengembalikan sokongan kepada UMNO-BN pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang dengan mendakwa Menteri Besar Sementara, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal melindungi kepentingan masyarakat itu.
Dalam ucapan pelancaran di Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Seremban, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mendakwa hanya UMNO-BN yang boleh menjaga kepentingan Melayu.
Merujuk kepada komposisi kaum wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri, Khairy berkata, orang Melayu dan Islam bernasib baik kerana 14 wakil rakyat UMNO pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sebelumnya.
Beliau juga menuduh Aminuddin tidak berkuasa dan berada di bawah kawalan DAP yang memegang jumlah kerusi terbanyak dalam kalangan parti-parti Pakatan Harapan (PH).
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, PH dan BN bertanding di bawah satu pakatan bagi mengelakkan pertembungan dengan masing-masing berjaya memenangi 17 dan 14 kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.
Daripada sebanyak 17 kerusi dimenangi PH itu, 11 adalah milik DAP, Parti Keadilan Rakyat atau PKR (lima kerusi) dan Parti Amanah Negara atau Amanah (satu kerusi) manakala Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai pembangkang selepas hanya mendapat lima kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

