Kenang jasa pemimpin terdahulu bangunkan Felda - Anwar

Anwar ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, pada Selasa.
Anwar ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, pada Selasa.
A
A
A

MARAN – Generasi hari ini perlu menghargai jasa pemimpin terdahulu yang membangunkan Felda dan membuka peluang kepada rakyat memiliki tanah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sejarah penubuhan Felda membuktikan keprihatinan pemimpin terdahulu dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan Melayu dan Bumiputera.

"Anak bangsa yang peka tentang sejarah akan kenang budi pemimpin-pemimpin ulung yang berjasa dan berkhidmat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini pada Selasa.

Hadir sama pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Anwar memberitahu, Tun Abdul Razak Hussein bukan sahaja dikenang sebagai pengasas Felda, malah tokoh yang berusaha mengangkat martabat rakyat melalui pembangunan tanah rancangan.

Beliau turut menegaskan asas penubuhan Felda dibentuk berteraskan amanah dan integriti oleh pemimpin terdahulu termasuk Tun Abdul Razak, Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dan Taib Andak.

"(Mereka) tidak salah gunakan kuasa, tidak mengambil tindakan gopoh dan memilih untuk meluluskan apa-apa bantuan berdasarkan kepentingan diri mereka atau keluarga mereka.

"Kita harus belajar daripada pengalaman ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Anwar Ibrahim memberitahu penganjuran sambutan hari peneroka Felda yang diadakan di Jengka tahun ini menjimatkan kos serta memberi manfaat secara langsung kepada warga peneroka.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat kerana sambutan tidak lagi diadakan secara besar-besaran di ibu negara, sebaliknya dibawa ke kawasan Felda yang mempunyai kemudahan dan infrastruktur lengkap.

"Kita dapat menyelamatkan dana dan ia akan dipulangkan kepada peneroka. Itu pendirian kita," katanya.

Anwar berkata, penganjuran sambutan di kawasan Felda memberi peluang kepada penduduk setempat menjalankan perniagaan selain membolehkan pengunjung dari luar mengenali kawasan tanah rancangan berkenaan.

Katanya, sambutan itu juga boleh diadakan secara bergilir di negeri lain pada masa akan datang.

"Jadi kalau setuju, kita sambut di luar. Tahun depan kita boleh tukar. Johor ke, Negeri Sembilan ke, Perak ke. Boleh?" katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!