KUALA LUMPUR - Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) yang diwartakan pada Jun 2010 mengandungi tujuh prinsip ulung yang wajib dipatuhi bagi menjaga keutuhan data peribadi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata dengan berkuatkuasanya akta itu, satu jabatan baru  di bawah kementerian telah diwujudkan iaitu Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data supaya tidak disalahguna oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

"Data peribadi mempunyai pengertian seperti butiran akaun bank, kad pengenalan, jenis darah dan sejarah kesihatan selain akaun kredit yang wujud atau apa-apa juga butiran komunikasi yang ada pada seseorang itu yang boleh dianggap sebagai data peribadi.

"Jika pihak lain menyimpan data peribadi itu tanpa kebenaran atau tanpa mengikut tujuh prinsip yang ada di bawah akta itu, maka beliau melakukan satu kesalahan, dan boleh didenda sehingga RM30,000 dan penjara setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan JPDP dan Seminar Kesedaran Perlindungan Data Peribadi 2012 di sini hari ini.
   
Seramai 400 orang hadir pada seminar yang julung kali diadakan bagi meningkatkan kesedaran, mengumpul maklumat balas daripada segi pendekatan rangka kerja kawal selia yang akan diwujudkan untuk tujuan pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan dengan aspek data peribadi.

Turut hadir kedua-dua timbalan menterinya Datuk Joseph Salang, Datuk Maglin Dennis De Cruz dan Ketua Pengarah JPDP Abu Hassan Ismail.

Rais berkata tujuh prinsip tersebut ialah seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya; mesti mematuhi prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan; prinsip penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.

Prinsip keselamatan - apabila memproses data peribadi mana-mana subjek perlu mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau tidak hilang atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan; prinsip penyimpanan - sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan; prinsip integriti data - setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses; prinsip akses - seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh memperbetulkan datanya itu supaya terkini.

"Dengan adanya prinsip tersebut, akan wujud keyakinan di kalangan pengguna, pengamal e-dagang, kemudahan rangkaian dan bukan rangkaian bahawa maklumat peribadi mereka adalah dilindungi," katanya.
   
Bagaimanapun, katanya di bawah perundangan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dikecualikan daripada aplikasi akta itu bagi memberi ruang dan hak untuk kerajaan menggunakan data peribadi asas seseorang untuk diproses susulan maksud pentadbiran yang sah di sisi undang-undang.

Rais berkata APDP berkomplimentari dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan menjaga kepentingan rakyat daripada segi integriti dan keselamatan data peribadi seseorang.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata kewujudan perundangan itu antara lain akan dapat membantu Malaysia menjadi pusat komunikasi dan perdagangan elektronik, lokasi pelaburan dalam industri dan multimedia yang menarik serta rakan perdagangan antarabangsa yang boleh memberi jaminan perlindungan data peribadi mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya kini terdapat lebih 100 negara yang telah dan sedang memperkenalkan perundangan perlindungan data peribadi masing-masing.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 dan RON97 naik satu sen, masing-masing kepada RM2.17 seliter dan RM2.47 seliter bermula tengah malam ini, 19 hingga 25 Oktober ini.
  • KUALA LUMPUR - Anggota keluarga dan kenalan yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay boleh berbuat demikian bermula 7 malam esok di alamat No 2 Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabanga dan Industri (Miti), Datuk Sri Mustapa Mohamed akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman, Netherlands dan Belgium dari 18 hingga 20 Oktober ini.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan menugaskan 60 pegawai dan pakar perubatan di hospital medan yang akan dibina di kem pelarian etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa orang ramai mempertahankan kesederhanaan dan rasa hormat terhadap pihak lain kerana pandangan melampau berhubung agama boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang agama.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.