PENGARAH terkenal, Syafiq Yusof selamat menimang cahaya mata keduanya, semalam.

Berita gembira itu dikongsikan oleh pengarah berusia 26 tahun ini di laman Instagramnya (IG).

Memilih nama Nuur Nusaybah, bayi perempuan itu dilahirkan dengan berat 3.6 kilogram pada 4 Februari.

"Nusaybah merupakan salah seorang daripada serikandi Islam dan pejuang Muslimah Islam yang pertama.

"Dia turut serta dalam Perang Uhud, Perang Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah serta menyaksikan Bait al-Aqabah.

"Nusaybah binti Kaab dikenal dengan julukan Ummu Umara," tulisnya.

Anak kepada penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini selamat mendirikan rumah tangga dengan Aisyeah Zainal pada 2014.

Terdahulu, pasangan ini dikurniakan puteri pertama yang diberi nama Nuur Jannah yang kini berusia dua tahun.