Pelakon Vijay tiba di Kuala Lumpur untuk pelancaran audio filem

Pelakon popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay tiba di Kuala Lumpur semalam, menjelang pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan.
Pelakon popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay tiba di Kuala Lumpur semalam, menjelang pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan.
A
A
A

PELAKON popular selatan India dan kini bergelar ahli politik, Vijay tiba di Kuala Lumpur semalam, menjelang pelancaran audio filem terbaharunya Jana Nayagan, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Menurut penganjur, Malik Streams Corporation, pelakon berusia 51 tahun itu berlepas dari Chennai dengan menaiki jet peribadi dan mendarat di Subang Skypark pada kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan). Ketibaan artis itu mendapat perhatian meluas media sosial, yang dikongsi pada pelbagai platform.

"Ketibaan Vijay yang diiringi oleh pengarah muzik filem berkenaan, Anirudh Ravichander diserikan dengan persembahan tarian tradisional," menurut penganjur kepada Bernama.

Vijay merakamkan penghargaan atas sambutan yang diberikan dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan para penari.

Sebelum ini, Vijay menyuarakan hasrat untuk mengurangkan penglibatan dalam aktiviti lakonan secara beransur-ansur bagi menumpukan kepada bidang politik.

Menjelang acara berkenaan, maklumat berkaitan kehadiran kru produksi filem itu di Malaysia turut dikongsi di media sosial, termasuk hantaran yang memaparkan ketibaan petugas kreatif.

Pelancaran audio itu disifatkan sebagai program hiburan berbentuk penghargaan dan dijangka menarik kehadiran ramai penonton, dengan stadium berkenaan mampu menampung hingga kira-kira 85,000 peminat.

Program berkenaan akan berlangsung dalam dua segmen, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi, diikuti pelancaran audio rasmi.

Vijay serta anggota pelakon dan kru produksi dijadual berucap pada segmen pelancaran audio berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa tokoh terkenal industri perfileman Tamil, termasuk pengarah Atlee dan Nelson Dilipkumar, serta pelakon dan pengarah Prabhu Deva, turut berada di negara ini bagi menghadiri acara berkenaan.

Filem terbitan KVN Productions itu bakal ditayangkan pada 9 Januari 2026. - Bernama 

 

Ringkasan AI

  • Pelakon popular India Selatan, Vijay, tiba di Kuala Lumpur untuk pelancaran audio filemnya Jana Nayagan
  • Vijay tiba di Subang Skypark menggunakan jet peribadi dari Chennai
  • Ketibaan Vijay disambut dengan persembahan tarian tradisional bersama pengarah muzik Anirudh Ravichander
  • Pelancaran audio filem di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka menarik kehadiran ribuan penonton
  • Filem Jana Nayagan dijadual tayangan pada 9 Jan 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!