KUALA LUMPUR - Seorang produser drama hari ini kalah dalam saman fitnahnya berjumlah RM10 juta terhadap TV3 berhubung satu wawancara dalam program 'Melodi' lima tahun lepas.
    
Ketika menolak saman Jurey Latiff Mohd Rosli, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan bahawa perkataan yang terkandung dalam wawancara itu bukanlah fitnah terhadap Jurey Latiff.
    
Hakim berkata perkataan itu juga tidak sama seperti fitnah memandangkan Jurey telahpun dimaklumkan mengenai kandungan wawancara itu sebelum program Melodi disiarkan.
    
"Beliau tahu tentang isu yang diutarakan kepadanya. Beliau tahu apa yang diperkatakannya," kata hakim, dan menambah plantif boleh menolak daripada diwawancara namun beliau mengizinkan untuk diwawancara.
    
Selanjutnya, hakim berkata Jurey Latiff secara sukarela mengambil bahagian dalam wawancara itu dan beliau sedar tentang isu yang diperkatakan.
    
Nik Hasmat turut menegaskan bahawa TV3 sebagai stesen TV utama di negara ini hanyalah bertindak mengikut tanggungjawab kewartawanan dalam menyiarkan wawancara itu.
    
Hakim memerintahkan Jurey Latiff membayar kos RM25,000 kepada TV3.
    
Pada 13 Jan, 2009, Jurey Latiff, yang juga Presiden Penerbit Televisyen Malaysia memfailkan saman terhadap TV3 dengan mendakwa program Melodi yang disiarkan TV3 pada 12.30 tengah hari 21 Sept, 2008 telah memfitnah beliau.
    
Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata hos Nas Ahmad membayangkan bahawa beliau individu tidak bermoral dan seorang suami serta bapa yang tidak jujur dan tidak bertanggungjawab.
    
TV3, dalam pernyataan pembelaan yang dibetulkan, berkata wawancara itu dibuat dalam keadaan perlindungan bersyarat memandangkan ia mempunyai tanggungjawab sosial dan moral untuk menerbitkan apa jua maklumat yang diperolehnya tentang mana-mana individu agar orang ramai mendapat maklumat sepenuhnya. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Seorang kontraktor yang memuat naik status tidak puas hatinya terhadap saman yang dikeluarkan anggota polis trafik di Facebook (FB) sehingga menjadi tular, hari ini didenda RM4,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
  • PUTRAJAYA - Seorang taikun dan dua bekas menteri kabinet antara 23 individu yang akan dinamakan sebagai satu pihak dalam saman sivil Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) terhadap bekas pengurus besarnya Datin Paduka Phang Oi Choo atau OC Phang.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,368 saman dikeluarkan dalam Ops Bersepadu Had Laju yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu di seluruh negara.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 302 saman dikeluarkan manakala 20 motosikal disita polis dalam Op Tutup di Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut di sini, lewat malam tadi.
  • SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian memfailkan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia adalah tindak balas daripada kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjalankan tanggungjawabnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.