KANGAR - Perlawanan bola sepak persahabatan antara Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) dan Kelab Media Perlis (KEMPs) di sini pada 10 Oktober ini adalah antara kegiatan sampingan yang bakal memeriahkan Islamic Fashion Festival (IFF) Kangar 2012 yang akan berlangsung pada hari yang sama.

MASC akan dibarisi 17 pemain termasuk Black Mentor, Danny X-Factor, Fahrin, Kamal Adli, Yank Kassim, Aliff Skate, Aidid Marcello, King, Fiq Mentor dan Asrul Raja Lawak manakala KEMPs akan dibarisi wakil-wakil media tempatan.

Regimen 504 Askar Wataniah akan menjadi penyelaras perlawanan persahabatan yang di padang Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan dijangka memikat kehadiran ramai penonton.

Timbalan Komander Regiman 504 Askar Wataniah, Lt Kol Zulfakar Abdul Wahid memberitahu Bernama hari ini, perlawanan itu bukan sekadar memeriahkan IFF Kangar 2012 tetapi juga akan mempromosikan regimen itu kepada orang ramai dan merapatkan hubungan artis dengan media tempatan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Komander Regimen 504 Askar Wataniah dijadualkan berangkat untuk menyaksikan perlawanan persabatan yang akan bermula 4.45 petang itu.

Zulfakar berkata sebelum perlawanan bermula, para artis terbabit dijadualkan mengadakan pertunjukan pentas manakala Tentera Darat akan mengadakan pertunjukan tambor.

Katanya dengan pembabitan Regimen 504 Askar Wataniah sebagai penyelaras program itu, beliau berharap lebih banyak golongan belia akan berminat menyertai askar wataniah.

Pada majlis itu juga, para peserta latihan Program Pembangunan Bola Sepak Negeri Perlis yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah akan menunjukkan bakat mereka sebelum sepak mula perlawanan persahabatan antara MACS dan KEMPs
itu.

Turut diadakan ialah sesi penerangan sukan woodball kepada para artis di gelanggang woodball Dataran Datuk Sheikh Ahmad.

Sebelum beraksi di padang bola sepak, rombongan artis itu akan dibawa melawat galeri Istana Arau.- Bernama