SIAPA yang mengikuti perkembangan Johan Raja Lawak di Instagram pasti tahu riuh rendah mereka sekeluarga apabila berada di rumah. Mesti ada sahaja usikan nakal yang membuatkan netizen geli hati dan terhibur.

Terbaru, isterinya, Ozlynn telah berkongsi pula kejutan hari jadi yang dibuat khas untuk pengasuh anaknya sehingga mendapat pujian netizen dan 72,839 like sehingga petang tadi.

"Happy birthday Cora! Kelam kabut dia pergi panggil Ariq (anak Johan) dekat luar sebab kita sahaja buat kelam kabut konon nak mintak tolong Ariq. Sekali dia kena main la cik salmah," tulisnya di Instagram jozlynnhanania.

Coral merupakan jururawat yang menjaga anak bongsunya sepanjang dia bekerja sejak sebulan lalu.

Ozlynn berkata, pengasuh anaknya itu, seorang yang tegas tetapi penyayang dan paling penting, banyak benda dia belajar dari pengasuhnya itu.

Termasuk perkongsian cerita sedih pengasuhnya itu, apabila dia dibayar untuk menjaga orang tua dan juga bayi, sedangkan anaknya sakit di kampung tetapi terpaksa ditinggalkan sebab ingin mencari duit di negara ini.

Paling terharu dia memberitahu, dia juga telah kehilangan suami pada bulan Mei lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung ibu, abangnya yang sudah tua selain anaknya itu.

Ozlynn menyifatkan pengasuhnya seorang yang tabah kerana setiap kali dia melihat dirinya menyuapkan makanan kepada anak-anak, diperhatikan ada perasaan hiba pengasuhnya itu walaupun dia menyorokkan mukanya.  

"Aku suruh dia kerja elok-elok. Nanti aku bawa anak kau (pengasuh) datang sini melawat (kau). Jangan risau pasal duit belanja dan  tiket 'flight', nanti aku curi duit suami (aku) sebab dia banyak duit.  

"Tergelak dia sambil lap airmata dengar aku cakap," katanya yang turut mengundang tawa netizen.