HARI Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) disambut 6 Ogos setiap tahun, sejak ia diumumkan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1975.

Tahun ini, HPPNK 2017 dijadual berlangsung selama empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober 2017 di Maeps, Serdang dan satu program baharu iaitu Malaysia Food Festival turut dianjurkan.

Bertemakan Makanan Kita, Masa Depan Kita, HPPNK 2017 adalah platform menghargai dan meraikan mereka terlibat dalam penyediaan makanan di semua peringkat iaitu  pengeluar seperti petani, penternak dan nelayan sehingga mereka yang proses, masak serta menghidangkan makanan.

Selain itu, ia juga medium untuk menonjolkan segala teknologi dan inovasi dalam industri makanan.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di HPPNK 2017, pengunjung dapat meneroka dunia makanan dari ladang dan lautan ke meja hidangan.

Katanya, beberapa komponen utama HPPNK 2017 diketengahkan, antaranya 14 anugerah mengiktiraf pencapaian dan kejayaan tokoh pertanian yang diharapkan mampu mencetuskan inspirasi.

“Peladang, penternak dan nelayan adalah golongan diraikan, dihargai serta  diberi pengiktirafan pada HPPNK 2017,” katanya.

Beliau berkata, di HPPNK 2017, komponen Malaysia Food Festival adalah satu ekspo yang menawarkan pengalaman mengenai makanan, masakan, teknologi makanan dan seni hidangan.

“Pengunjung dapat dalami aspek pengeluaran, penghasilan dan persembahan makanan Malaysia.

“Begitu juga dengan komponen Empayar Makanan, kita bawakan gerai-gerai dan food truck yang menjual pelbagai juadah dari seluruh negara, sama ada yang biasa, popular mahupun eksotik,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, orang ramai juga dapat membeli hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan termasuk sayur-sayuran, buah-bahan dan bunga.

HPPNK yang terdahulu berjaya menarik pengunjung untuk melihat sendiri keunikan industri tempatan.

“Malaysia Seafood and Fishery Product bakal menampilkan pameran dan jualan hasil laut serta akuakultur, teknologi dan inovasi perikanan. Antara produk premium bernilai tinggi adalah ikan tuna, udang dan rumpai laut.

“Begitu juga inovasi produk seperti lemang sushi, kuro prawn, churros lekor, sate tuna dan snow fish. Jangan lepaskan peluang melihat demonstrasi masakan tradisi berasaskan perikanan,” katanya.

Menurutnya, komponen Livestock Malaysia pula akan menampilkan pameran haiwan hidup pelbagai baka dan petting zoo.

“Untuk bidang ternakan, boleh dapatkan maklumat mengenai teknologi, genetik, kesihatan haiwan, makanan haiwan, kawalan penyakit, MyGap dan sebagainya,” katanya.

Makanan kesihatan seperti madu kelulut, rumpai laut, sarang burung walit, minyak kelapa dara, durian belanda dan serbuk buah untuk gaya hidup sihat boleh didapati di reruai sekitar Maeps.

Sementara itu katanya, teknologi dan inovasi terbaru pertanian akan ditonjolkan dalam komponen Mekanisme Agromakanan.

“Ini termasuklah pameran, jualan dan demonstrasi jentera, perkakasan, dron dan sebagainya.

"Ruang  Agrobazar akan mempromosikan portal beli-belah atas talian menerusi Agrobazar.com yang menghimpunkan usahawan industri asas tani yang akan mempromosikan dan menjual produk sedia untuk dieksport mereka.

“Ia juga akan memaparkan maklumat mengenai MyGap, MyOrganic dan MyAgrosis serta  produk-produk keluaran mereka,” katanya.

Jelasnya, Agropelancongan adalah salah satu bidang terpenting dalam sektor agromakanan.

“Komponen AgroTrip akan mempromosikan dan mengetengahkan pusat-pusat agropelancongan dalam negara.

“Kepada mereka yang sedang mencari kerja dan berminat menyertai bidang agromakanan, Agro Job Fair menawarkan 2,000 peluang pekerjaan di 40 syarikat,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, komponen National Blue Ocean Strategy (NBOS) dan Mobile CTC akan memaparkan pelbagai manfaat yang dapat disampaikan kepada rakyat.

“Ia juga mengetengahkan perkhidmatan atas talian kerajaan seperti diskaun saman JPJ, saringan kesihatan percuma, pemeriksaan percuma, cuci barang kemas oleh Yapiem dan banyak lagi,” katanya.

Kementerian sasarkan 500,000 pengunjung selama empat hari HPPNK 2017 berlangsung dengan jualan kira-kira RM30 juta.

Selain itu, HPPNK 2017 memperlihatkan penglibatan sektor swasta dengan jumlah tajaan RM3.1 juta.

Teknologi dron dalam pertanian akan dipertontonkan kepada pengunjung HPPNK 2017.

“Antara yang menyumbang ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Agrobank, Persatuan Nelayan Kebangsaan, MEPL, Nestle Malaysia, Maeps, Ais Tank, Affin Bank, Tekun Nasional, Bernas, QSR Brands dan BioAlpha,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Masaat Awadz berkata, pihaknya sentiasa menyokong projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Matlamat kementerian sama dengan Agrobank  sendiri. Projek seumpama ini (HPPNK) bercorak hiliran, kita pasti ambil bahagian.

“Ini kerana HPPNK adalah platform terbaik kepada orang di luar sana yang berminat  dengan pertanian dan mahu memulakan projek pertanian. Kita akan cuba beri servis terbaik kepada mereka,” katanya.

Akuinya melalui HPPNK 2017, pihaknya mengetengahkan pendekatan lebih santai.

Selebriti tanah air yang juga ikon HPPNK 2017, seperti Farah Fauzana, Aiman Tino, Mat Dan dan Yabang (Khalifah) akan berada di Maeps selama empat hari.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) yang akan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) menyediakan pelbagai tarikan menarik buat pengunjung.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.