[VIDEO] PENYANYI Elyana yang baru-baru ini mengumumkan menghidapi penyakit kanser limfoma (kalenjar) tahap empat melahirkan rasa terharu atas kesediaan rakan, peminat yang mengadakan dan menyertai majlis solat hajat dan doa selamat untuk dirinya di Masjid Karangkraf, sebentar tadi.

Dalam majlis anjuran kelab peminatnya Elofcbyelyana (Elo) itu. dianggarkan hampir 200 orang telah hadir.

"Saya sangat terharu dan tak sangka begitu ramai yang menyayangi saya. Dulu keluarga dan rakan-rakan terdekat yang mengetahui sahaja tetapi hari ini saya dapat lihat ramai sebenarnya yang sayang saya termasuk peminat," jelasnya ringkas.

Majlis bermula selepas solat Isyak secara berjemaah.  Kemudian diteruskan dengan solat hajat dan doa selamat yang dipimpin oleh ustaz Halimi dari Pusat Tahfiz Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam.

Solat hajat dan doa selamat di Surau Kumpulan Media Karangkraf. –Foto Sinar Harian

Turut sama adalah 42 pelajar dari pusat tahfiz tersebut.

"Sekarang ini, saya masih lagi buat rawatan susulan," ujarnya.

Ibu berusia 30 tahun ini mendedahkan penyakitnya ini selepas tersingkir di minggu kelima Gegar Vaganza 4.  Beliau mendedahkan menyimpan rahsia penyakitnya selama tujuh tahun kerana tidak gemar berkongsi perkara yang menyedihkan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kanser tahap empat: Peminat Elyana menangis]

“Saya disahkan menghidap kanser tahap kedua selepas melahirkan cahaya mata sulung, Cinta Sumayyah, tujuh tahun lalu.

“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini dengan peminat dan masyarakat kerana tidak mahu orang lain bersedih. Jadi hanya keluarga dan teman-teman rapat sahaja yang tahu mengenai perkara ini,” jelasnya.