PELAWAK dan pengacara terkenal, Raja Azura terkilan dan terkejut dengan keputusan konsert kedua Kumpulan B, Bintang Mencari Bintang (BMB) yang mengumumkan anak didiknya, Kelawak mendapat markah terendah.

Dalam pada itu, Raja Azura juga keliru dengan keputusan juri awam yang hanya memberikan 11 daripada 20 markah.

Pada konsert pertama, juri awam memberi 12 markah buat Kelawak.

Meskipun mendapat markah paling rendah, namun Raja Azura akui cukup berpuas hati dengan persembahan anak didiknya, malam tadi.

Minggu ini, peserta BMB diberi peluang untuk membuat persembahan bersama sifu masing-masing.

“Persembahan hari ini agak kemas. Saya berpuas hati. Tapi saya tak puas hati dengan markah. Saya keliru... juri awam nak yang macam mana?

“Kalau persembahan konsert pertama, saya boleh terima tapi hari ini (semalam) mereka sampaikan dengan baik... tapi markah lebih rendah daripada konsert sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas konsert BMB, malam tadi.

Kekecewaan jelas terpancar pada wajahnya serta anak didiknya, Kelawak yang dianggotai Syed Atiq dan Muhd Maaruf.

Raja Azura yakin Kelawak sudah memberikan yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Menggunakan idea tentang adik yang mahu mengubah kakaknya yang suka membuli kepada seorang tukang gaji melalui mentera jin dari sebuah buku, Kelawak gagal menarik perhatian penonton.

“Saya tak tahu di mana silapnya, tapi saya akan tengok balik rakaman persembahan tadi.

"Saya terkilan. Saya sangat sedih sebab kepenatan mereka dengan saya sampai jam 3 pagi rasanya tak berbayar,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Azura akui gagal membentuk Kelawak ekoran menerima markah rendah dalam dua konsert berturut-turut.

“Apabila markah rendah, saya rasa saya gagal untuk membentuk mereka,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara Kelawak turut akui tidak berpuas hati dengan markah yang diterima minggu ini.

“Dari segi persembahan, kami puas hati. Kami buat yang terbaik. Tapi markah memang kami tak berpuas hati.

“Bukan tak puas hati dengan juri awam, tapi kami tak mampu menghiburkan mereka,” katanya.

Markah yang diterima Kelawak pada konsert pertama adalah 40 peratus sementara 41.4 peratus pula bagi konsert malam tadi.