HAK untuk bersuara adalah ciri penting dalam perlembagaan demokrasi dan ia terpakai untuk semua individu tanpa mengira latar belakang atau kerjaya.

Begitu juga golongan artis atau selebriti kerana mereka sebahagian daripada rakyat yang mempunyai hak bersuara menyatakan teguran, mahupun pandangan terhadap apa yang berlaku kepada negara.

Namun, baru-baru ini tindakan beberapa selebriti tanah air yang bersuara menyatakan pendapat mengenai isu negara di media sosial dipersoalkan, malah dijadikan isu seolah-olah mereka tidak berhak berbuat demikian.

Antara yang mendapat perhatian ialah pelakon Fathia Latiff.

Fathia berkata, apa yang disuarakan itu bukan mewakili dirinya sebagai seorang artis, tetapi lebih kepada rakyat biasa yang turut terkesan dengan apa yang berlaku sekarang ini.

“Saya percaya ada yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan apa yang saya suarakan itu, dan ia adalah perkara normal kerana masing-masing ada persepsi dan pandangan mereka sendiri terhadap sesuatu perkara.

“Saya bukan menyokong mana-mana pihak, tetapi cuba menyampaikan mesej sebagai rakyat biasa dengan harapan ada pihak sudi mendengarnya demi kebaikan kita semua pada masa depan.

“Sebenarnya ramai rakyat bersuara tentang perkara sama, tetapi mungkin kerana status saya sebagai selebriti, ia jadi perhatian ramai dan saya melihatnya dari sudut positif," katanya.

Pengarah dan pelakon, Zahiril Adzim juga berpendapat, artis adalah rakyat biasa dan mempunyai hak sama sebagaimana orang lain untuk bersuara mengenai sesuatu perkara berkaitan negara, dan ia tidak harus dijadikan isu.

“Cuma sebagai seorang artis, saya rasa kita perlu bersikap neutral dan tidak menjurus kepada mana-mana pihak ketika mengeluarkan pendapat terutama di medium media sosial supaya apa yang kita perkatakan itu dapat diterima dengan hati terbuka.

“Sebenarnya tak kiralah artis atau orang biasa, kita harus lebih bijak menyatakan pandangan dengan berlandaskan fakta, bukan hanya emosi semata-mata, barulah senang orang nak faham.

“Apa pun, saya faham mungkin ada sesetengah pihak kurang senang apabila artis bersuara kerana mereka jelas tentang pengaruh dimiliki golongan artis dan rasa tidak selamat apabila masyarakat lebih mendengar suara kami," katanya. 

Sementara itu, pengarah, pelakon dan pelawak, Sabri Yunus turut memberi pandangannya. 

“Rakyat ada hak untuk bersuara dan negara memerlukan suara semua pihak untuk menyatakan pandangan mereka demi kebaikan bersama.

"Bagi saya, tidak sepatutnya semua perkara harus dilihat dari sudut politik.

"Kita harus sedar dalam masyarakat mana-mana pun, ada satu pihak menyokong pemerintah, satu pihak menyebelahi pembangkang dan satu lagi pihak bersikap neutral iaitu tidak menyebelahi mana-mana," katanya.

Menurutnya, kebanyakan seniman berada dalam golongan ketiga, dan mereka selalunya bersuara sebagai rakyat biasa yang mengeluarkan pandangan kepada pemerintah, bukan sebagai individu mewakili mana-mana parti politik.

“Jadi, saya harap kita boleh faham keadaan ini. Sebagai seorang seniman, semestinya kita mahu berkarya dalam keadaan aman dan selesa," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :