AGROBANK mengiktiraf lapan usahawan dalam lapan kategori di Anugerah Agropreneur Agrobank 2017 (AAA 2017) dengan  nilai keseluruhan hadiah dan trofi sebanyak RM140,000, semalam.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, anugerah itu merupakan satu inisiatif korporat untuk mengiktiraf pelanggan-pelanggan Agrobank yang berprestasi cemerlang, berdisiplin dan berjaya dalam bidang yang diceburi.

"Anugerah ini dirangka bagi menghargai usahawan yang sentiasa berusaha keras memajukan perniagaan pertanian dan asas tani mereka. Ia diperkenalkan bagi menyokong usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengangkat lebih banyak lagi kisah kejayaan usahawan dalam bisnes agro," katanya dalam Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2017 dan Majlis Ulang tahun Agrobank yang ke-48, semalam.

Hadir dan merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mohamad Zabidi berkata, terdapat lapan kategori bagi anugerah tersebut ialah Anugerah Agropreneur Muda, Agropreneur Mikro, Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Agropreneur Inovasi, Anugerah Pelanggan Setia (Individu dan syarikat) dan Anugerah Agropreneur Cemerlang.

“Kami menerima 160 pencalonan dari seluruh negara. Penilaian pemenang anugerah berdasarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan input dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi meningkatkan proses penilaian," katanya.

Mohamad Zabidi berkata, pertanian adalah penyumbang kepada ekonomi terpenting dan Agrobank  menyokong impian agropreneur membina empayar perniagaan mereka sekali gus menyediakan banyak peluang pekerjaan.

“Bagi separuh pertama tahun 2017, Agrobank mencatatkan nilai pembiayaan membanggakan RM9 bilion dan sebanyak RM5.6 bilion daripada jumlah itu adalah pembiayaan bagi sektor pertanian primer.

“Sebanyak RM3.4  bilion pula merupakan pembiayaan bagi segmen agro-makanan. Ini adalah pencapaian terbaik dalam keadaan ekonomi global semasa,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AGROBANK melalui pinjaman menerusi skim pajak gadai Islam (Ar Rahnu) menjadi pilihan kerana cepat, mudah dan barang kemas dijamin selamat. Sebanyak 116 cawangan Agrobank menyediakan perkhidmatan ini di seluruh Negara.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.