DHAKA - BANGLADESH . Kerajaan Bangladesh telah mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke kawasan lebih selamat menjelang kedatangan musim monsun.

Semalam, Pesuruhjaya Pelarian, Mohammad Abul Kalam berkata, proses penempatan semula yang akan dilakukan sebelum Jun depan itu memberi keutamaan kepada pelarian Rohingya yang tinggal di kawasan berisiko dilanda tanah runtuh dan banjir.

Sementara itu, Timbalan Pentadbir Daerah, Mahidur Rahman memaklumkan 2,023 hektar hutan telah 'dibersihkan' selepas kebanyakan pelarian Rohingya menggunakan kayu api untuk memasak.

Difahamkan, Dhaka telah memperuntukkan kira-kira 1,416 hektar kawasan hutan di Cox's Bazar untuk pelarian Rohingya yang baharu tiba membina penempatan.

"Tetapi hutan itu telah ditebang pada kadar empat padang bola sepak sehari. Lereng bukit yang subur telah menjadi tandus dan memberi risiko berlakunya tanah runtuh apabila hujan lebat

"Kira-kira 200,000 terdedah kepada bencana alam itu," ujarnya.

Sebelum ini, Bangladesh mengumumkan rancangan untuk memindahkan kira-kira 100,000 pelarian Rohingya di pulau tidak berpenghuni di Teluk Bengal, namun pelan itu tidak akan dilakukan sebelum akhir tahun ini. - Press TV