'Anda tahu siapa bos' - Trump beritahu Netanyahu

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu 'tahu siapa bos' dalam hubungan antara kedua-dua pemimpin itu, ketika kedua-duanya dijangka mengadakan pertemuan di Rumah Putih dalam masa terdekat.
Trump membuat kenyataan itu dalam satu temu bual telefon ringkas bersama Axios pada Sabtu, selain mengesahkan kemungkinan Netanyahu melawat Washington seawal minggu hadapan.
“Kami berhubung dengan sangat baik. (Netanyahu) tahu siapa bos,” kata Trump sambil merujuk kepada dirinya sendiri.
Menurut beliau, pertemuan tersebut mungkin berlangsung dalam masa terdekat, namun jadual boleh berubah susulan komitmen beliau menghadiri sidang kemuncak NATO di Turkiye pada 7 hingga 8 Julai.
Seorang pegawai Israel memaklumkan kepada Axios bahawa lawatan Netanyahu mungkin ditangguhkan ke minggu berikutnya bergantung kepada jadual rasmi kedua-dua pemimpin.
Sementara itu, pejabat Netanyahu mengesahkan kedua-dua pemimpin telah berhubung pada Jumaat dan bersetuju untuk mengadakan pertemuan di Amerika Syarikat 'dalam masa terdekat'.
Hubungan Washington dan Tel Aviv kekal rapat sebagai sekutu utama, namun laporan sebelum ini menyebut terdapat ketegangan antara kedua-dua pemimpin berhubung usaha menamatkan konflik dengan Iran yang tercetus sejak Februari lalu.
Trump sebelum ini juga dilaporkan semakin lantang mengkritik Netanyahu berhubung perkembangan perang serantau yang turut melibatkan Hizbullah di Lubnan serta usaha damai dengan Iran.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu ialah pada 11 Februari lalu di Washington.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

