Wakil Arab Saudi hadiri upacara penghormatan Khamenei

Pegawai kanan Iran menyambut ketibaan delegasi negara-negara Arab yang menghadiri upacara pengebumian Khamenei, di Grand Prayer Grounds, Teheran, pada 4 Julai 2026. Foto: AFP
Pegawai kanan Iran menyambut ketibaan delegasi negara-negara Arab yang menghadiri upacara pengebumian Khamenei, di Grand Prayer Grounds, Teheran, pada 4 Julai 2026. Foto: AFP
A
A
A

TEHERAN – Wakil Arab Saudi menjadi antara delegasi dari lebih 70 negara yang menghadiri upacara penghormatan terakhir Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, sekali gus mencerminkan penyertaan meluas masyarakat antarabangsa dalam majlis yang berlangsung di Teheran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, negaranya berbesar hati menerima kehadiran wakil-wakil berkenaan, termasuk beberapa negara Arab, yang hadir memberi penghormatan kepada Khamenei.

“Kami berbesar hati menerima wakil dari negara-negara ini, yang memilih untuk menghadiri majlis penghormatan kepada Ayatollah Khamenei, termasuk saudara-saudara kami dari negara Arab.

"Peringatan bersejarah ini akan kekal sebagai sebahagian daripada perjalanan hubungan bersama,” katanya menerusi hantaran dalam bahasa Arab di platform X pada Sabtu.

Menurut beliau, penyertaan delegasi asing itu mencerminkan hubungan diplomatik yang terus diperkukuh antara Iran dengan negara-negara sahabat.

Upacara yang memasuki hari kedua di Kompleks Musolla Besar Teheran itu dihadiri jutaan rakyat Iran serta pemimpin, menteri dan utusan khas dari Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev; Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; Panglima Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir; Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon; Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan serta wakil kanan China.

Selain Arab Saudi, delegasi rasmi turut hadir dari Qatar, Oman, Mesir, India, Afghanistan, Lubnan, Yemen, Palestin dan beberapa negara lain.

Iran turut mendakwa kehadiran besar-besaran wakil asing itu berlaku walaupun Amerika Syarikat (AS) dikatakan menjalankan usaha diplomatik bagi menggesa beberapa negara supaya tidak menghantar wakil ke majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan media Iran yang memetik sumber kanan kerajaan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, didakwa mengarahkan semua kedutaan negara itu pada 26 Jun lalu supaya memujuk kerajaan tuan rumah agar tidak menghadiri upacara tersebut dengan memberi amaran bahawa penyertaan boleh menjejaskan hubungan dua hala.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai kempen tekanan diplomatik oleh AS itu belum dapat disahkan secara bebas.

Khamenei terbunuh pada 28 Februari lalu ketika konflik antara Iran, AS dan Israel memuncak. Upacara penghormatan yang bermula pada 3 Julai dijadual berlangsung sehingga 9 Julai, sebelum jenazah beliau dikebumikan di bandar suci Mashhad selepas melalui beberapa siri penghormatan di Tehran, Qom dan Iraq. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!