1.7 juta satelit ancaman besar dunia

PARIS – Perancangan beberapa syarikat angkasa lepas untuk melancarkan sehingga 1.7 juta satelit ke orbit Bumi dalam tempoh beberapa tahun akan datang disifatkan bakal memberi kesan buruk kepada bidang astronomi, menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu.
Kajian yang dijalankan oleh Balai Cerap Selatan Eropah (ESO) itu mendapati pertambahan satelit bersaiz besar dan sangat terang berpotensi menjadi ancaman serius kepada teleskop berasaskan bumi kerana akan meningkatkan kecerahan langit malam serta menjejaskan pemerhatian terhadap objek di angkasa.
Sehubungan itu, pasukan penyelidik mencadangkan jumlah satelit yang mengorbit Bumi dihadkan kepada 100,000 bagi memastikan manusia terus berupaya meneroka dan mengkaji alam semesta.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics, ia merupakan penyelidikan pertama yang mengukur kesan gugusan satelit bersaiz besar dan bercahaya terang terhadap pemerhatian astronomi.
Ketika ini, kira-kira 14,000 satelit sudah mengorbit Bumi, kebanyakannya terdiri daripada satelit rangkaian internet Starlink milik bilionair, Elon Musk.
Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat dengan mendadak apabila syarikat SpaceX merancang melancarkan lebih sejuta satelit menjelang 2028 bagi berfungsi sebagai pusat data yang menyokong perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, projek lain seperti Cinnamon oleh syarikat pemula E-Space serta gugusan satelit China, CTC-1 dan CTC-2, dijangka menambah ratusan ribu lagi satelit di orbit.
Syarikat pemula Amerika Syarikat, Reflect Orbital pula merancang melancarkan 50,000 satelit yang dilengkapi cermin gergasi untuk memantulkan cahaya matahari ke Bumi pada waktu malam.
Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta satelit berpotensi memenuhi orbit Bumi sekali gus mengganggu pandangan teleskop yang beroperasi dari permukaan bumi.
Langit malam empat kali lebih terang
Ketua penyelidik, Olivier Hainaut berkata, setiap kali satelit melintasi kawasan cerapan, ia akan menghasilkan jaluran cahaya terang yang menutup imej objek di belakangnya.
"Keadaan ini sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan masih boleh dikawal. Namun, jika jumlah satelit meningkat daripada 14,000 kepada 1.7 juta, ia akan menimbulkan masalah besar," katanya.
Menurut beliau, satelit milik Reflect Orbital merupakan antara ancaman terbesar kerana pantulan cerminnya mampu menjadikan setiap satelit kelihatan seterang planet Zuhrah walaupun tidak dihalakan ke arah pemerhati.
Kajian itu turut mendapati hampir semua imej yang dirakam menggunakan kamera terbesar dunia di Balai Cerap Vera C. Rubin di Chile berisiko tidak lagi boleh digunakan.
Malah, langit malam di mana-mana lokasi termasuk Perancis, Gurun Sahara dan Chile dijangka tidak lagi kelihatan gelap serta jernih, sebaliknya menyerupai langit di kawasan pinggir bandar yang mengalami pencemaran cahaya.
ESO turut memaklumkan kesemua 50,000 satelit Reflect Orbital mampu menjadikan keseluruhan langit malam sehingga empat kali lebih terang, manakala di bandar yang mengalami pencemaran cahaya, satelit berkenaan mungkin menjadi satu-satunya 'bintang' yang masih kelihatan.
Hainaut menggesa jumlah satelit di orbit dihadkan kepada 100,000 dan direka bentuk supaya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Ketika ini, Reflect Orbital dan SpaceX masih menunggu keputusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) berhubung permohonan untuk melancarkan gugusan satelit masing-masing. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

