BALING - Lebih 1,000 penduduk kawasan Weng hingga Tanjung Pari terputus bekalan air dari Syarikat Air Darul Aman (Sada) sejak 14 Jun hingga hari ini.

Krisis terbaharu itu melibatkan lebih lima kampung antaranya Kampung Bukit Ketil, Bukit Rawa, Kampung Weng Luar, Kampung Charok Semeliang, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Tanjung Langsat.

Penduduk, Rosli Karim,54, berkata, masalah terbaharu itu menjejaskan urusan harian penduduk.

“Daripada 14 Jun air berterusan tak ada sampai hari ini. Selalunya air terputus saja, siang tak ada malam ada balik.

“Tapi kali ni tak ada langsung, lama sangat. Kami nak masak lemang untuk raya baru-baru ni pun terpaksa guna air bukit,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk, Abdul Latif Musa,60 an, berkata, penduduk turut terputus bekalan air bukit sekiranya berdepan hujan lebat.

Menurutnya, ia ekoran kolam takungan air masyarakat tersumbat dengan daun dan ranting kayu.

“Jika hujan, kadang-kadang kolam air tersumbat, jadi keruh sampai tak boleh minum dan basuh baju pun,” katanya.

Penduduk, Md Isa Che Din,60, berkata, penduduk pelik mengapa kawasan pekan Kampung Lalang yang terletak hanya tiga kilometer daripada Pekan Weng masih boleh menikmati air Sada.

“Kami pelik kenapa di sana boleh ada, tapi di sini tak ada. Adakah kerana di sana banyak tauke? Kami kat sini orang kampung saja,” katanya.

Penduduk, Zukri Nen,56, berkata, masalah yang sebelum ini dianggap selesai rupanya masih lagi berlaku.

“Selepas penduduk buat demonstrasi empat bulan lalu, air Sada kembali pulih, dapatlah empat bulan kami rasa nikmat air bersih.

“Tengok-tengok jadi balik kali ni, kami minta Sada sedia air daripada pukul 7 pagi sampai 5 petang pun depa tak mampu nak buat,” katanya.

Menurutnya, penduduk bercadang berarak sejauh 18 kilometer dari Tanjung Pari hingga pejabat Sada di Pekan Baling.

Sementara itu, Exco Penerangan Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, masalah air menjadi agenda nombor satu kerajaan Pakatan Harapan untuk diselesaikan.

“Kita telah pasang pam di lima kawasan hotspot, salah satunya di Jerlun. Alhamdulillah sepanjang raya masalah itu tidak timbul, jika ada hanya kes terpencil.

“Kita ada empat lagi kawasan akan dipasang pam dan satu tempat paip akan dialihkan. Jika kawasan Weng termasuk dalam  hotspot itu ia akan segerakan dibuat,”katanya.