Melaka mohon kelulusan 28 SRA baharu

Rahmad
Rahmad
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka berharap kerajaan Persekutuan dapat meluluskan segera permohonan pembinaan 28 sekolah rendah agama (SRA) di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi menampung keperluan murid di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, pembinaan bangunan sekolah baharu itu penting bagi memastikan murid sekolah rendah di negeri ini tidak ketinggalan mengikuti pendidikan agama.

Menurutnya, disebabkan kekurangan bangunan sehingga kini sebanyak 32 SRA terpaksa menggunakan dan menumpang bangunan sekolah kebangsaan.

"Permohonan ini dibuat untuk menampung keperluan dan kapasiti murid yang semakin bertambah.

"Namun kita akan melihat kepada keperluan yang mendesak supaya ia diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) peringkat negeri tahun 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Artikel Berkaitan:

Badaruddin (kiri) dan Rahmad (dua dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada pelajar terbaik UPKK 2023 peringkat negeri, Adam Nurfirdaus di sebuah hotel di Banda Hilir pada Selasa.
Badaruddin (kiri) dan Rahmad (dua dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada pelajar terbaik UPKK 2023 peringkat negeri, Adam Nurfirdaus di sebuah hotel di Banda Hilir pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, berkata, permohonan pembinaan sekolah itu telah dibuat kepada kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Sekali lagi kita berharap kerajaan dapat menyegerakan kelulusan itu untuk memastikan semua murid di kawasan terlibat mendapat kemudahan pembelajaran," katanya.

Jelas beliau, kemasukan murid ke SRA JAIM pada tahun ini turut menunjukkan peningkatan dengan jumlah seramai 48,976 orang berbanding 46,242 orang murid pada tahun lalu.

"Kita mengalu-alukan kemasukan anak-anak ke SRA JAIM dan melihat permintaan ibu bapa terhadap pendidikan agama Islam semakin meningkat," katanya.

Pada majlis itu, seramai 103 pelajar daripada 40 sekolah SRA JAIM, Sekolah Rendah Arab JAIM, Sekolah Menengah Arab JAIM dan juga Sekolah Rendah Islam Swasta diraikan.

Selain itu, 46 pelajar cemerlang UPKK, 55 pelajar cemerlang SIA dan dua pelajar cemerlang STAM turut diberikan penghargaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!