Projek naik taraf Terminal Bas Sungai Nibong siap sepenuhnya

Mooi Lye (tiga dari kiri) merasmikan Projek Naik Taraf TSN pada Selasa.
Mooi Lye (tiga dari kiri) merasmikan Projek Naik Taraf TSN pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Terminal Bas Sungai Nibong (TSN) kini berwajah baru selepas projek menaik taraf dan pengurusan operasi bernilai RM7 juta telah dijalankan sejak Ogos 2021.

Ia merupakan projek kerjasama antara pengurusan terminal, Easybook (M) Sdn Bhd (Easybook) bersama agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), UDA Holdings Berhad (UDA).

UDA merupakan peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, UDA memperluaskan cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta menerusi pengendalian TSN.

Menurutnya, UDA menerusi Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA menjalinkan kerjasama strategik dengan Easybook iaitu syarikat yang membekal Sistem Pengurusan Terminal, Sistem Tiket Berpusat serta Sistem Jualan Tiket Dalam Talian bagi menguruskan terminal tersebut.

"Melalui kepakaran dan pengalaman dalam menguruskan terminal bas, UDA optimis meneroka peluang mengendalikan TSN bersama-sama dengan Easybook dalam usaha mengembangkan salah satu cabang perniagaan pelaburan dan pengurusan harta.

“Usaha ini merupakan salah satu strategi UDA dalam membangunkan semula serta memodenkan infrastruktur di kawasan bandar seterusnya mewujudkan kehidupan yang harmoni dan menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti setempat.

William (kanan) mengiringi Mooi Lye (dua dari kanan) meninjau TSN selepas majlis perasmian.
William (kanan) mengiringi Mooi Lye (dua dari kanan) meninjau TSN selepas majlis perasmian.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga seiring dengan konsep penjenamaan UDA, LIFE iaitu (Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Majlis Perasmian Projek Naik Taraf TSN di sini pada Selasa.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Aset Kumpulan UDA Holdings Berhad, Azrudyn Rashid

Mohd Salem menambah, inisiatif tersebut turut bertepatan dengan fokus UDA iaitu selaku agensi di bawah KUSKOP dalam mempergiat aktiviti keusahawanan dengan menyediakan ruang niaga kondusif.

"Kini terminal tersebut mempunyai sembilan ruang niaga dan satu medan selera. UDA turut merancang untuk menambah gerai jualan tambahan bagi membantu lebih ramai usahawan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan dan menjalankan perniagaan di lokasi strategik seterusnya melahirkan usahawan yang berdaya saing.

“Semoga langkah proaktif UDA ini selari dengan hasrat meneruskan Legasi UDA dan bergerak ke arah kelestarian UDA seterusnya menyumbang kepada perpaduan serta pembangunan ekonomi di Pulau Pinang dan memperkasa Ekonomi Madani,” kata beliau.

Projek menaik taraf dan pengurusan operasi TSN yang berkeluasan 42,112 kaki persegi ini meliputi kerja-kerja membaik pulih dan mengubah suai bangunan terminal, membina bangunan tambahan, membaik pulih kawasan tempat letak kereta serta menambaik baik sistem tempat letak kereta, sistem pengurusan terminal dan sistem jualan tiket merangkumi pelaksanaan sistem tiket berpusat dan jualan tiket dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Easybook, William Lee berkata, pada 2020 Easybook telah berjaya memperoleh tender bagi projek menaik taraf dan menguruskan TSN yang telah dibina pada tahun 2004.

William (kiri) menunjukkan cara mengendalikan kiosk Easybook yang disediakan di TSN kepada Mooi Lye pada Selasa.
William (kiri) menunjukkan cara mengendalikan kiosk Easybook yang disediakan di TSN kepada Mooi Lye pada Selasa.

William berkata, Easybook seterusnya menawarkan usaha sama dengan UDA yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan bangunan serta terminal bas bagi kerja-kerja naik taraf dan pengoperasian terminal tersebut.

"Kita menyediakan sebuah terminal bas yang dinaiktaraf dan berwajah baru serta dilengkapi dengan sistem dan aplikasi yang terkini dan moden iaitu Easybook Terminal Management System (EM) yang melingkungi modul CTS, TOS, PIDS yang diterapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Kos asal pembangunan terminal ini ialah RM6.2 juta yang merangkumi pembangunan sistem dan kerja-kerja naiktaraf bangunan. Bagaimanapun, kos keseluruhan kerja-kerja penaiktarafan TSN mencecah RM 7 juta. Projek ini siap sepenuhnya pada April lalu.

"Ini kerana, peningkatan kos bahan binaan dan juga melibatkan kerja-kerja tambahan seperti penyediaan tandas bertaraf lima bintang, jubin lantai baru, tar dan batu 'interlocking' jalan, penggantian semua kabel dan paip. Kos sistem ETM adalah RM3 juta dan lain-lain RM4 juta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!