AYER HITAM - Pembinaan Rumah Pam Penggalak di Batu 17, di sini oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) menjadi bukti keprihatinan pihak Sada terhadap rintihan penduduk di kawasan berkenaan.

Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, pembinaan rumah pam terbabit bertujuan untuk meningkatkan tekanan air untuk diagihkan kepada pengguna di kawasan berkenaan.

Katanya, usaha yang diambil pihak Sada itu adalah sesuatu yang sangat dinanti-nantikan penduduk Ayer Hitam yang sering dilanda gangguan bekalan air.

“Kita sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Sada kerana mengambil tindakan efisien untuk menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya.

Azhar berkata, gangguan air di Ayer Hitam ini bukan masalah baharu, malah sudah berlarutan beberapa tahun yang lalu.

“Apa yang dapat kita kenal pasti puncanya adalah disebabkan tekanan air yang rendah.

“Jadi apabila pihak Sada membina rumah pam ini, sedikit sebanyak ia membantu mengurangkan jumlah penduduk yang terjejas.

“Cuma ada beberapa kawasan lagi seperti Kampung Pida 6, dan Pida 7 yang jauh dari kedudukan rumah pam itu masih mengalami gangguan bekalan.

“Insya-ALLAH saya difahamkan pihak Sada akan berusaha untuk ambil tindakan selanjutnya bagi atasi masalah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, rumah pam terbabit yang menelan kos kira-kira RM150,000 dapat membantu menyelesaikan hampir 125 akaun pengguna di kawasan tersebut.

Katanya, projek pembinaan rumah pam itu bermula pada awal bulan Ramadan dan siap sepenuhnya dua hari sebelum  hari raya lalu.

“Ini adalah bukti bahawa Sada sentiasa peka dengan rungutan penduduk dan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Menurutnya, selain pembinaan rumah pam terbabit, pihaknya juga dalam perancangan untuk membina Loji Rawatan Air Bukit Keplu di Kodiang.

“Kami yakin projek ini mampu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, bagi perancangan jangka panjang, mereka juga akan menaiktarafkan Loji Rawatan Air Pelubang sebagai usaha untuk mengurangkan masalah bekalan air di daerah ini.