KUAH - Seorang remaja mualaf yang koma dipercayai akibat didera disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi, jam 8.40 malam semalam.

Mangsa, Nur Salina Abdullah, 18, sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi pada Ahad lalu selepas tidak sedarkan diri.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Shamsul Nawi berkata, ketika mendapatkan rawatan, doktor menemui pelbagai kesan lebam di keseluruhan bahagian tubuh mangsa.

Menurutnya, pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis kerana kesan kecederaan yang dialami dipercayai akibat penderaan.

"Bertindak atas laporan yang dibuat, polis menahan reman pasangan suami isteri yang juga keluarga angkat mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal, keluarga ini dikatakan berpindah ke Langkawi sejak setahun lalu dan mengusahakan perniagaan makanan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Shamsul berkata, sehingga jam 10 malam tadi, bedah siasat masih lagi dijalankan oleh pihak hospital.

“Pemeriksaan memerlukan masa untuk melihat pelbagai aspek yang menyebabkan kematian mangsa.

“Setelah selesai bedah siasat, pihak kami akan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi untuk urusan pengebumian mangsa, ini adalah atas permintaan ayahnya yang mahukan yang terbaik bagi anaknya,” katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan reman adalah majikan kepada mangsa iaitu sepasang suami isteri dan dua orang turut ditahan iaitu anak mereka yang berumur 16 dan 21 tahun untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Nai Koi See, 42, menyerah kepada pihak berkuasa untuk menguruskan jenazah anaknya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu anaknya itu dua tahun lalu ketika selesai mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Anak saya yang nama asalnya Nai Ah Nung (Nur Salina) tinggal bersama ibu saya sejak berumur enam tahun sehinggalah dia mengikut jiran kami ke Pulau Pangkor, Perak.

"Saya ada cuba menghubungi dia awal tahun ini untuk bertanya khabar menerusi telefon tetapi tidak berjawab,” katanya.

Koi See berkata, dia dimaklumkan anak bongsu daripada dua beradik itu memeluk agama Islam Januari lalu selepas tinggal bersama keluarga angkatnya kira-kira dua tahun.

Menurutnya, dia sering teringat kepada anaknya itu namun tidak menganggapnya sesuatu yang pelik dan tidak menyangka ia adalah petanda bakal kehilangan anaknya.

"Saya menerima segala kejadian ini dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menguruskan jenazahnya secara Islam,” katanya.

Katanya, keluarganya cukup mengenali pasangan yang menjadi keluarga angkat anaknya itu dan tidak menyangka hal ini akan terjadi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Ketua Bersatu Bahagian Beruas, Abdul Rashid Shaharudin meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, dipercayai akibat kencing tikus, hari ini.
  • TUMPAT - "Kami tak tahu dia pergi Thailand malam tadi, biasanya dia kalau nak ke seberang Thailand dia pergi waktu siang," kata Wan Rokiah Wan Hussien, 55.
  • RANTAU PANJANG - “Ibu bapa saya masih sedih,” kata abang Allahyarham Laskar Kelas 1, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang meninggal dunia ketika latihan fizikal di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, 3.15 petang Jumaat lalu.
  • BATU PAHAT - “Sembilan tahun arwah tunggu giliran dan dalam tempoh itu jugalah dia berulang-alik ke pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) untuk buat rayuan,” kata Mardiah Sidek, 66.
  • PONTIAN - Tiada istilah putus asa bagi dua beradik, Asma Yahya, 61, dan Faridah, 52, untuk menjejak semula keluarga mereka yang terpisah sejak lebih 50 tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.