Perobohan 216 jeti haram di sempadan Malaysia -Thailand dijangka selesai sebelum Mac

Mohd A Aruwan (tengah) ketika menyertai lawatan di Pos PGA Pak Teh Kana, Pasir Putih pada Isnin.
Mohd A Aruwan (tengah) ketika menyertai lawatan di Pos PGA Pak Teh Kana, Pasir Putih pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS – Keseluruhan 216 jeti pangkalan haram di atas tanah milik kerajaan di sempadan Malaysia–Thailand sepanjang Sungai Golok dijangka selesai dirobohkan sepenuhnya sebelum Mac ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Abd Aziz berkata, kerja-kerja perobohan akan melibatkan jeti berstruktur yang dibina secara haram di sepanjang sungai berkenaan bermula dari Tumpat hingga Jeli.

“Keseluruhan jeti berstruktur di atas tanah milik kerajaan ialah 96 jeti.

“Sebanyak 25 daripadanya sudah berjaya dirobohkan setakat hujung tahun lalu dan baki akan dirobohkan tahun ini yang dijangka selesai sebelum Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyertai lawatan di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pak Teh Kana (JP 1), Kampung Terusan di sini pada Isnin.

Datuk Mohd A Aruwan menjelaskan, bagi jeti tidak berstruktur, pihak berkuasa akan melaksanakan langkah kawalan fizikal dengan memasang kawat berduri jenis concertina wire bagi menghalang pendaratan dan pergerakan rentas sempadan secara haram.

“Langkah ini dilaksanakan sebagai alternatif kawalan di kawasan landai yang tidak mempunyai struktur kekal, selain lebih sesuai dengan keadaan muka bumi dan faktor keselamatan,” katanya.

Mengulas keseluruhan situasi beliau berkata, sebanyak 223 jeti pangkalan haram dikenal pasti sepanjang Sungai Golok termasuk tujuh jeti di atas tanah persendirian yang belum terlibat dalam operasi perobohan ketika ini.

“Fokus kita adalah jeti di atas tanah kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi yang berada di atas tanah persendirian, kami tidak menyentuhnya buat masa ini,” katanya.

Menurut beliau, operasi perobohan itu dilaksanakan selaras Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi persekutuan serta agensi di peringkat negeri.

“Setakat ini tiada kekangan besar yang menjejaskan pelaksanaan operasi perobohan, kecuali faktor cuaca dan musim monsun yang menyebabkan paras air Sungai Golok meningkat dan tidak sesuai untuk melaksanakan kerja-kerja perobohan.

“Keadaan ini sementara saja dan operasi akan diteruskan semula sebaik keadaan cuaca stabil,” katanya.

Kerja meroboh jeti haram di sempadan tersebut bermula pada akhir Oktober tahun lepas di Rantau Panjang dan dilaksanakan secara berperingkat.

Ringkasan AI

  • Keseluruhan 216 jeti pangkalan haram di sempadan Malaysia–Thailand sepanjang Sungai Golok dijangka dirobohkan sepenuhnya sebelum Mac ini
  • Sebanyak 96 jeti berstruktur di atas tanah milik kerajaan dengan 25 daripadanya sudah dirobohkan setakat hujung tahun lalu
  • Jeti tidak berstruktur akan dihadang menggunakan kawat berduri jenis concertina wire
  • Sejumlah 223 jeti pangkalan haram dikenal pasti termasuk tujuh jeti di atas tanah persendirian yang belum terlibat dalam operasi perobohan
  • Operasi perobohan dilaksanakan selaras Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!