SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui tidak sedarkan diri dalam kejadian di Taman Batik kira-kira jam 6 pagi, mencetus pelbagai persepsi sehingga ada yang mengatakan mangsa dibunuh.

Lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan pakaiannya terselak sehingga separuh bogel namun tiada sebarang petanda lain ditemui berdekatan mangsa.

Penyebaran melalui laman sosial pula tular mengatakan mangsa ditembak.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, mangsa dipercayai gelandangan disyaki dilanggar kenderaan yang melalui kawasan berkenaan sebelum ditinggalkan.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan tentang penemuan mayat berdekatan lampu isyarat Taman Batik, Jalan Lencongan Barat Sungai Petani jam 6.07 pagi.

“Saksi menjelaskan dia nampak mayat di atas jalan dalam keadaan hujan lebat semasa dalam perjalanan mahu ke tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami cedera parah pecah di kepala dan terdapat kesan dilanggar, namun identiti masih belum dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.