GEORGETOWN - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bimbang identiti kebangsaan negara akan hilang selepas Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) dilaksanakan sekolah persendirian Cina.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia kerana UEC merupakan sijil yang didakwa mengetepikan soal bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pembentuk ciri negara ini.

“Kurikulum bahasa pengantara yang digubal secara berlawanan arus perdana bahasa Kebangsaan akan menghakis nilai Malaysia yang selama ini diusahakan bersama pelbagai kaum.

“Akta Pendidikan 1969 yang diluluskan di Parlimen menetapkan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai medium pengantara dalam semua institusi pendidikan yang berdaftar.

“Sejak itu, semua kaum menerima hakikat bahawa Melayu adalah bahasa teras membentuk sahsiah dan jati diri negara ini,” katanya.

Menurutnya, sejak kemerdekaan lagi ruang pendidikan vernakular dibenarkan malah mendapat peruntukan oleh kerajaan.

“Kita melahirkan pelajar yang sebati dengan bahasa Kebangsaan di samping membenarkan bahasa ibunda kaum masing-masing dipelajari adalah suatu kesepakatan cukup unik dalam sebuah negara majmuk.

“Isu pokoknya ialah bukan soal UEC yang mereka mahu diiktiraf, malah mereka mahu mengubah dasar keseluruhan pendidikan di negara ini dengan mengetepikan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara.

“Persoalannya, kenapa hal ini muncul dalam usaha kita memupuk generasi Malaysia dengan kebersamaan jati diri nasional melalui bahasa kebangsaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan hanya mewujudkan subjek bahasa Melayu dalam pengajaran sedangkan subjek lain diajar dalam bahasa Cina jelas mereka cuba menunjukkan bahasa Kebangsaan tidak penting.

“Para pemikir dan penggubal sistem pendidikan negara ini sudah sekian lama meneliti apakah implikasi menjadikan bahasa lain dari bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantara.

“Pengiktirafan UEC akan membuka pintu kepada pelbagai rombakan dan teras pendidikan negara yang akhirnya menjadikan pendidikan di negara ini tanpa ciri kebangsaan,” katanya.

Jelasnya, sekolah persendirian Cina harus menerima dasar negara dan sedar implikasi kepada matlamat integrasi nasional dalam pembinaan negara jika generasi muda melalui pendidikan yang gersang dari penguasaan bahasa Kebangsaan.

“Isu UEC ini bukan sekadar isu bahasa pengantara, tetapi melibatkan teras pembentuk sahsiah nasional,” katanya.