KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin digesa membuat permohonan maaf ekoran kenyataannya meminta semua sekolah tahfiz di negara ini ditutup.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, bekas pemimpin itu sepatutnya memberi cadangan lebih bernas bagi menambah baik aliran tahfiz di negara ini.

“Cadangan dikemukakan itu tidak masuk akal dan kita membantah sekeras-kerasnya cadangan supaya pusat tahfiz ditutup.

“Macam mana seorang yang dihormati boleh mencadangkan supaya pusat tahfiz perlu ditutup. Ini satu pandangan yang tidak logik, tidak masuk akal dan kita membantah keras saranan yang dikemukakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Agung 2016-2018 kali keempat Persatuan Persara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelajar tahfiz kini ada antaranya tidak hanya memberi fokus terhadap aliran agama semata-mata dan ada antara mereka yang turut mengambil peperiksaan awam.

“Budak tahfiz yang tak ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebenarnya kita perlu bantu. Ada sesetengah pusat tahfiz buat sekolah baharu untuk turut memberikan ruang kepada pelajarnya fokus kepada SPM.

“Usaha begini yang kita mahu iaitu menambah baik sekolah aliran tahfiz, bukan minta mereka tutup,” katanya.