KAMPUNG RAJA - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati keempat-empat paha lembu peliharaannya dilapah dan dilarikan pencuri di Kampung Gelam Mas, dekat sini kelmarin.

Mangsa, Shaari Said, 44, berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian itu oleh anak jirannya kira-kira jam 2 petang apabila melihat bangkai seekor lembu  tanpa kaki berada di tepi jalan kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia terkejut melihat keadaan bangkai lembunya yang telah ketiadaan kesemua kaki akibat dilapah pencuri dari paras paha.

“Setahu saya inilah kejadian pertama seumpama itu di kampung saya  kerana sebelum ini pencuri hanya melarikan seekor lembu tetapi kali ini melapah kaki,” katanya.

Shaari berkata lagi, dia mengesyaki pencuri terlebih dahulu menyembelih lembu itu berdasarkan ada kesan sembelih sebelum suspek melapah paha lembu berkenaan.

Menurutnya, kali terkahir dia melihat lembu yang dipelihara sejak dua tahun itu ditambat di tempat sama kira-kira 6 petang sehari sebelum itu.

“Ada jiran saya yang lain memberitahu ternampak dua lelaki menaiki kereta Proton Saga berada di lokasi itu kira-kira jam 6 pagi bangkai tersebut ditemui.

“Namun  jiran saya itu tidak mengesyaki sesuatu buruk pada waktu  lalu tidak mempedulikan dua lelaki tersebut,” katanya.

Shaari berkata, dia mengesyaki pencuri mencuri paha lembu tersebut untuk tujuan mendapatkan dagingnya untuk dijual.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja sejurus kemudian untuk tindakan lanjut.