KUALA NERUS - Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan kedai berkonsepkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menggunakan nama T-Mart di semua Dun di negeri ini dalam usaha untuk menangani kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini kedai sedemikian telah diwujudkan di beberapa tempat di Terengganu termasuk sebuah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana telah luluskan KR1M yang guna jenama T-Mart ini.

"Sekiranya BN terus diberi peluang dan menang PRU14 di kita bercadang untuk di semua daerah dan Dun.

"Kalau kita dapat realisasikan hasrat untuk buka di semua 32 Dun secara tidak langsung dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Dewan Serbaguna Tok Jembal, di sini.

Jelas Ahmad Razif lagi, usaha itu juga selari dengan fokus utama manifesto BN Terengganu untuk membantu golongan miskin.

"Dalam manifesto yang dilancarkan baru-baru ini kita akan menyediakan kad bagi kemudahan kepada rakyat yang tersenarai sebagai e-Kasih, warga emas dan sebagainya.

"Kad itu boleh digunakan oleh golongan berkenaan untuk berbelanja di T-Mart dengan harga yang jauh lebih murah.

"Justeru, melalui cara itu kita dapat membantu mengatasi kekangan kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah," katanya.