BESUT - Seramai 8,028 pekebun kecil getah di negeri ini yang mempunyai kad pekebun kecil masih belum memohon untuk mendapatkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Kelantan dan Terengganu, Azuan Adinan berkata, jumlah itu adalah daripada 24,110 pekebun kecil getah yang layak menerima bantuan berjumlah RM600.

Menurutnya,  setakat ini seramai 16,082 pekebun kecil getah di negeri ini telah menerima BMT yang telah dibayar bermula November tahun lalu.

“Penerima adalah di kalangan pekebun kecil getah yang mempunyai kad dan pokok getah masih aktif ditoreh (getah muda).

“Bayaran BMT dibuat sebanyak tiga kali iaitu pada bulan November, Disember dan Januari sebanyak RM200 setiap bulan  yang dimasukkan ke dalam akaun penerima,” katanya.

Azuan berkata demikian selepas hadir pada satu majlis LGM bersama pekebun kecil Dun Jabi di Kampung Kepala Gajah, Jabi di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kepala Gajah, Malek Mat mewakili Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.

Sehubungan itu, beliau mahu pekebun yang belum membuat permohonan agar memohon segera secara dalam talian atau datang ke pejabat LGM di Kuala Terengganu dan Tok Dor, Besut.

"Tarikh tutup untuk membuat permohonan sebelum 31 Januari ini dan bayaran akan dibuat sampai April ini," katanya.

Menurut Azuan, pekebun kecil getah yang layak ialah mereka memiliki kebun getah tidak melebihi 100 ekar dan pemilik kebun dan penoreh yang mendapat kebenaran daripada pemilik kebun.

Katanya, walaupun nilai bantuan tidak begitu besar tetapi apa yang dibuat kerajaan sedikit sebanyak meringankan beban mereka khususnya ketika musim tengkujuh.