KAMPUNG PELANDAN - PDRM tidak pernah melindungi mana-mana pegawai dan anggota polis daripada dikenakan tindakan sekiranya menyalahi undang-undang atau terlibat salah laku jenayah serta dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, tiada keistimewaan buat mereka, sebaliknya tindakan diambil tetap sama sebagaimana dilaksanakan pada orang awam.

“Tidak nafikan memang ada yang terlibat dengan dadah, salah laku disiplin, salah laku jenayah dan kita tidak berkompromi dengan mereka. Kita juga tidak pernah beri perlindungan kepada mana-mana pegawai atau anggota polis yang langgar undang-undang.

“Hendak kata serius, tidaklah begitu serius tapi ada. Seseorang pegawai dan anggota polis juga adalah masyarakat biasa, namun hanya jawatan saja sebagai polis dan mereka juga terikat pada undang-undang negara yang perlu dipatuhi.

“Jangan menganggap diri berada di zon selesa kerana mereka seorang pegawai atau anggota polis. Sekiranya terlibat perkara menyalahi undang-undang tindakan tegas akan turut dilakukan sepertimana masyarakat awam di luar sana.

“Pernah kita tahan pegawai dan anggota  terbabit dadah termasuk bagi kesalahan  mengikut kes 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Bukan hanya kes dadah diambil tindakan, namun yang terbabit rasuah dan jenayah kekerasan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelantikan Pemimpin Sekolah Sesi 2018 di Sekolah Kebangsaan Cheting, di sini, semalam, melibatkan seramai 44 murid.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaludin Ismail serta Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.

Tambah Mohmad, walaupun jumlah penglibatan itu mungkin kecil tetapi beliau secara peribadi melihat perkara itu sesuatu yang serius dan harus ditangani sebaik mungkin kerana polis perlu sentiasa berada di landasan betul, dihormati lapisan masyarakat dan relevan setiap masa.

“Selain tindakan bagi kesalahan dadah dan jenayah, mereka juga tidak terlepas sekiranya gagal jalankan tugas diamanahkan. Contohnya, pegawai penyiasat narkotik, jika gagal jalankan siasatan mengikut prosedur  ditentukan, kita juga ambil tindakan jabatan.

“Dalam amanat saya sebelum ini, banyak kali saya beri peringatan khusus kepada warga JSJN supaya menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti. Kita di peringkat jabatan ambil pencegahan awal bagi mengelak perkara ini terus berlaku,” ujarnya.