KUALA BESUT - Kedatangan pelancong ke lima pulau peranginan di negeri ini menunjukkan peningkatan 10 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu, Zanariah Zakaria berkata, pelancong dari China mencatatkan pelancong luar negara tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong  itu.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh Jabatan Taman Laut Malaysia juga menyatakan pelancong tempatan (dalam negara) merupakan penyumbang lebih 50 peratus jumlah pelancong ke pulau peranginan tersebut.

“Jumlah pelancong ke Pulau Perhentian juga telah melebihi 200,000 orang dalam tempoh tersebut dan kesemua destinasi telah melepasi sasaran awal kita,” katanya ketika ditemui di Pulau Perhentian di sini.

Zanariah berkata, kempen dilakukan kerajaan negeri sempena My Beautiful Terengganu 2017 dan kerjasama pameran oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) turut membantu kepada peningkatan ini.

Menurutnya, bilangan kedatangan pelancong dari Eropah juga telah diperbaiki hasil tawaran pakej lebih baik dibuat oleh pengusaha resort dan usaha pihak berkuasa menjaga keselamatan serta keamanan di pulau peranginan seluruh negara.

“Lima pulau peranginan di negeri ini yang popular ialah Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Lang Tengah dan Kapas manakala Pulau Bidong yang merupakan Taman Negeri dibuka untuk lawatan secara harian saja.

“Terdapat sebanyak 350 pengusaha resort di negeri ini dan daripada jumlah itu 85 terdapat di lima pulau peranginan tersebut dengan Pulau Perhentian mencatatkan bilangan pengusaha terbanyak iaitu 46 diikuti Redang (17), Kapas (15 buah resort berskala kecil), Lang Tengah (4) dan Pulau Tenggol (3),” katanya.

Katanya, Pulau Perhentian dan pulau berhampiran akan ditutup mulai akhir Oktober ini sebelum dijangka dibuka semula Mac tahun depan kerana musim tengkujuh.

"Ketika ini kehidupan marin di kawasan taman laut dapat ‘direhatkan’ dalam memelihara khazanah untuk memastikan kelestarian alam dapat dijaga dan terus menarik kehadiran pelancong," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BENTONG - Jambatan gantung yang dibina semula dengan kos RM106,000 siap sepenuhnya sebagai kemudahan kepada pengunjung Air Terjun Chammang di sini.
  • BESUT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggalakkan pengusaha, pengendali resort dan penduduk kampung di kawasan pulau peranginan di negara ini mendaftar sebagai sukarelawan atas talian atau lebih dikenali Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam usaha memerangi jenayah di kawasan tersebut.
  • CHUKAI - Sebanyak 9,676 kes HIV direkodkan di Terengganu sehingga Jun lalu sejak kes pertama dikesan pada 1988 dan lebih membimbangkan jangkitan kes akibat faktor seksual menunjukkan trend peningkatan.
  • BENTONG - Selepas empat hari hilang, seorang warga Korea Selatan ditemui selamat di Hutan berdekatan Japanese Tea Berjaya Hills Resort, di sini, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.