KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup bergelut dan mengacukan parang kepada anggota polis semata-mata mengelak dirinya ditangkap, dalam kejadian di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, Kuala Nerus, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi, lelaki, 40, yang diburu untuk bantu siasatan berkait kes curi beg tangan milik seorang peniaga pada Ahad lalu berjaya dikesan bersembunyi di dalam kawasan semak di lokasi.

Menurut sumber, bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran polis, suspek bertindak agresif dengan menyerang sambil mengacukan parang ke arah salah seorang anggota polis.

"Dalam keadaan agak cemas itu, anggota lain yang turut berada di lokasi memberi amaran kepada suspek agar tidak bertindak melulu atau polis terpaksa gunakan kekerasan.

"Takut dengan arahan keras diberi, suspek terus melarikan diri, namun, beberapa minit kemudian, dia berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan serta parang ditangannya juga berjaya dirampas" katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, selain senjata yang panjangnya lebih kurang sembilan inci itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM200 yang disorokkan didalam sampul surat.

Terdahulu, satu laporan polis diterima daripada seorang wanita melaporkan beg tangannya yang ditinggalkan di dalam kereta hilang dipercayai dicuri, dalam kejadian di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Mangsa mendakwa di dalam beg tangan itu mengandungi wang RM4,000, kad pengenalan, lesen memandu, sebuah telefon bimbit jenama Vivo, dua keping surat pajak Ar-Rahnu, kad bank dan dua bentuk cincin emas miliknya.

Susulan laporan yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, polis memburu suspek yang dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

"Kes berkenaan kini di siasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.