Pelancong China teruja hadir majlis perkahwinan Islam di Malaysia

Tangkap layar video yang dimuat naik Ibrahim menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.
Tangkap layar video yang dimuat naik Ibrahim menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelancong lelaki Muslim dari China mengakui teruja kerana berpeluang hadir untuk merasai sendiri pengalaman dan kemeriahan majlis perkahwinan Islam di Malaysia.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok milik @ibrahim_tiecimin, pada awalnya dia dijemput ke majlis itu secara kebetulan oleh tuan rumah selepas melalui jalan di perkampungan tersebut.

“Saya bernasib baik dan bertuah berada di sini hari ini kerana kebetulan dijemput untuk merasai sambutan majlis perkahwinan Melayu di sebuah perkampungan di Malaysia yang dikelilingi pergunungan.

“Majlis ini sangat meriah dan dipenuhi dengan adat yang mana tuan rumah dan tetamu yang hadir bersalaman di pintu masuk kenduri malah ada juga iringan muzik sepanjang majlis berlangsung.

“Saya juga tidak menyangka dan baharu sahaja tahu ada dua pasangan pengantin hari ini kerana kebiasaannya hanya sepasang sahaja dalam satu-satu majlis, ia sangat unik,” katanya

Ujar lelaki yang dikenali sebagai Ibrahim itu, dia mendapati jamuan yang disediakan para tetamu juga berbeza serta mudah kerana ia dihidangkan secara bufet dan boleh memilih sendiri juadah tersebut.

“Dekat sini ada banyak makanan yang boleh dipilih sama ada ayam, ikan, daging lembu, buah-buahan dan pelbagai minuman, saya boleh ambil apa sahaja yang ada dan mahu sehingga kenyang.

“Tetapi kali ini saya memilih untuk makan ayam kerana nampak sedap. Semakin banyak saya makan, semakin sedap lauk ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada tuan rumah berkenaan kerana mengundangnya ke majlis tersebut.

“Saya juga mendoakan kesejahteraan, keberkatan dan kebaikan buat kedua-dua pasangan mempelai atas perkahwinan yang dibina.

“Terima kasih kerana sudi jemput. Saya juga tidak sabar mahu rasai pengalaman hadiri kenduri kahwin lagi jika berpeluang,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!