KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 1,931 notis kesalahan kepada orang awam kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, daripada jumlah notis saman dikeluarkan itu, 1,446 pesalah telah ditawarkan untuk membayar kompaun terhadap kesalahan dilakukan.

Katanya, 906 pesalah bertindak membayar kompaun tersebut dengan jumlah kutipan RM325,915 manakala baki selebihnya tidak memberikan tindak balas.

“Kita juga dapat menyelesaikan sebanyak 185 kes di mahkamah dan daripada jumlah itu, sebanyak 57 telah disabitkan bersalah dan didenda sebanyak RM12,750.

“Baki 128 kes telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah kerana saman kepada pesalah tidak dapat disempurnakan. Selebihnya notis dan kompaun yang tidak dijelaskan dan masih dalam proses tindakan undang-undang,” katanya sempena Majlis Pewartaan Taman Awam Batu Buruk sebagai kawasan larangan merokok, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu serta kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri.

Mohammad berkata, sebanyak 167 notis kesalahan yang sama telah dikeluarkan kepada pesalah berusia bawah 18 tahun dan mereka yang terlibat melakukan kesalahan ini disiasat mengikut Peraturan 41(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Beliau berkata, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun.

“Taman awam sebagai tempat larangan merokok dikuatkuasakan bermula 2 Februari lalu dan Kementerian Kesihatan  menggunakan penguatkuasaan pendidikan selama tempoh tiga bulan sehingga 31 Mei lalu.

“Jadi, ini adalah waktu terbaik untuk semua orang menghargai kesihatan dengan menyedut udara bersih tanpa kesan merokok. Kita perlu menjadikan kawasan-kawasan berkenaan sebagai bebas asap rokok 100 peratus," katanya.

Katanya, bagi maksud pewartaan taman awam sebagai zon larangan merokok, semua kawasan di situ dilarang merokok kecuali tempat letak kereta terbuka.

Selain itu, katanya, bagi Taman Negara pula, tiga lokasi utama tumpuan ialah menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi.

“Sabit kesalahan merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Kesalahan di bawah peraturan 11(1) juga merupakan kesalahan yang boleh dikompaun dengan nilai tidak melebihi RM250,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PULAU PERHENTIAN - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menentukan tempat lebih sesuai untuk pembinaan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian memandangkan tapak yang dicadangkan sebelum ini didapati kurang sesuai.
  • GEORGETOWN - Kawasan pelancongan Bukit Bendera yang menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara kini diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
  • SEREMBAN - Sebanyak 30 Taman Awam di negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 15 Februari lepas.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan memastikan tahap kebersihan makanan yang dijual pada bulan Ramadan ini berada di tahap yang bersih dan memuaskan.