SABAK BERNAM - Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mohd Faizul Fitri Muslil, membuat kejutan apabila dilihat bersendirian mengutip dan membersih sampah-sarap di Tapak Pasar Malam Sabak Bernam, di sini.

Tindakan beliau yang memakai pakaian berwarna hitam dan bertopi seperti pekerja pembersihan tular di media sosial Facebook.

Dipercayai, Mohd Faizul melakukan kerja-kerja itu lebih sejam sebelum dia didatangi pekerja pembersihan di tapak berkenaan.

Tindakan Mohd Faizul itu dilakukan bagi melakukan pemeriksaan mengejut dan menilai sendiri mengenai tahap kerja-kerja pembersihan yang dijalankan pihak kontraktor.

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan akaun Facebook, Mrsz Lulul dalam statusnya memberitahu, kawasan tapak itu dipenuhi longgokan sampah.

"Tapak Pasar Malam Sabak Bernam penuh dengan sampah sarap.

"Mengganggu peniaga pasar pagi untuk berniaga dan mohon tindakan segera," katanya.

Status yang dimuat naik itu mendapat sebanyak 90 kesukaan, 19 komen dan enam perkongsian.

Pemilik akan Facebook, Muzilatul Nil Khaira yang menulis di ruangan komen berkata, kemungkinan pihak yang menjalankan kutipan lewat terjaga.

"(Pihak) yang kutip sampah tidur lagi Cik Ngah. Malam tadi tengok (perlawanan) bola sepak," katanya.

Nawwar Aqilah berkata, perkara sama berlaku di kawasan lain.

"Dekat tapak (Pasar Malam) Stadium (Sungai Besar) pun sama je (saja) kak," katanya.