SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedia merealisasikan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bekerjasama menyediakan tapak tanah di negeri ini khusus bagi pembinaan perumahan mampu milik.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata,  inisiatif melalui Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) itu selari dengan Dasar Perumahan Negeri Selangor bagi merealisasikan matlamat ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini agar kerajaan negeri dapat bekerjasama menyediakan tapak tanah untuk membina perumahan mampu milik.

“Justeru, kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor akan merencana langkah awal untuk melakukan perundingan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya inisiatif ini dapat dijayakan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Selangor adalah pelopor dalam usaha mengutamakan rakyat dan menyediakan perumahan mampu milik.

“Saya berharap dengan kerjasama strategik dengan kerajaan Persekutuan ini lebih ramai rakyat di Negeri Selangor dapat memiliki tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami,” katanya.

Zuraida hari ini menggesa kerajaan negeri menyediakan tapak tanah untuk membolehkan lebih banyak rumah mampu milik dapat disediakan oleh kerajaan pusat untuk rakyat.

Katanya, dengan penyediaan tanah terbabit yang siap dengan kemudahan infrastruktur, kos pembinaan rumah akan lebih rendah, sekali gus membolehkan pihaknya membina rumah yang lebih besar dan selesa.

Beliau juga mencadangkan agar pihak pembekal utiliti menanggung kos penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan telekomunikasi untuk setiap projek perumahan, yang disifatkan mampu memberi penjimatan kepada kos projek pembangunan kawasan perumahan dan akhirnya mengurangkan harga rumah.