PETALING JAYA - Polis sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam kes memukul serta menyamun seorang lelaki selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Batu 13 Puchong di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, mangsa berusia 39 tahun yang menaiki sebuah kereta dikatakan telah melanggar sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, susulan daripada pelanggaran itu mangsa dikejar orang awam yang melihat kejadian sebelum bertindak memukulnya.

“Mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar serta objek lain hingga cedera di bahagian kepala dan badan. Pada masa sama, orang awam dikatakan telah mengambil dokumen peribadi termasuk dompet serta telefon bimbit mangsa.

“Semakan kita mendapati mangsa serta penunggang motosikal itu telah membuat laporan trafik berhubung kemalangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang meneliti video kejadian kes berkenaan yang tular di laman sosial Facebook bagi mengesan individu yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya lagi, mangsa dan penunggang motosikal berkenaan kini dirawat di Hospital Serdang.