BUKIT SENTOSA  -  Tempat meletak kenderaan di bangu­nan premis perniagaan Jalan Orkid 2a dan 2b di Bandar Bukit Sentosa dicemari sampah.

Seorang pekerja swasta, Mohd Hanif Saadon, 28, berkata, situasi itu bertambah teruk apabila sisa buangan diselongkar anjing tidak bertuan selain sasaran gagak.

Menurutnya, longgokan sampah berlaku apabila terdapat segelintir peniaga yang sengaja mengambil jalan mudah dengan membuang sampah di tapak letak kenderaan berbanding tong yang disediakan.

“Walaupun ada kerja-kerja pembersihan tapi memang beginilah kea­daannya setiap hari, cuma yang beza jumlah sampah sama ada sedikit atau banyak.

“Kawasan letak kereta dekat sini memang kotor sebab banyak sampah dan kalau bukan peniaga, mesti ada orang ramai yang lalu buang sampah terutama plastik makanan dan botol minuman.

“Sikap tidak bertang­gungjawab ini memberi imej buruk kerana ramai yang berkunjung ke bandar ini setiap hari untuk urusan peribadi atau perniagaan,” katanya.

Seorang suri rumah, Aini Syafa Ishak, 33, berkata, dia sering kali ke bandar ber­kenaan untuk membeli barang keperluan dan men­dapati masalah pembuangan sampah hanya berlaku di tempat letak kenderaan di bangunan terbabit.

Menurutnya, lokasi lain di bandar itu tidak berlaku situasi sama dan ber­anggapan masalah tersebut wajar diatasi segera.

“Mungkin kena letak tong sampah berhampiran premis perniagaan bagi memudahkan peniaga membuang sampah.

“Orang kita pun suka buang sampah merata-rata. Jika ada peniaga yang masih berdegil, tindakan tegas perlu dikenakan sebab bila seorang mula buang sampah, yang lain akan ikut,” katanya.