KUALA LANGAT - Kajian pelaksanaan ladang babi moden yang pernah dijalankan sebelum ini merupakan satu usaha menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar.

Adun Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan berkata, beliau sendiri telah berjumpa dan mendengar maklum balas penduduk mengenai pembinaan tersebut dan kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan syarat pembinaan dilakukan mengikut ternakan moden yang boleh menghapuskan masalah pencemaran alam dan bau yang busuk.

“Isu ini sebenarnya sudah lapuk dan perlu dibangkitkan atas sebab menjamin masalah kebersihan selepas ini, namun lokasi cadangan projek yang dicadangkan kira-kira dua ke tiga kilometer berhampiran penempatan penduduk Melayu itu sebenarnya bukan masalah besar.

“Pihak berkenaan sudah buat kajian ke atas tanah seluas 136 hektar itu. Penduduk boleh membantah jika masalah tanah mereka yang bakal diambil namun sekiranya pihak tersebut membayar nilai tanah yang memberi keuntungan apa salahnya,” katanya.

Haslin berkata, projek ini sebenarnya hasil inisiatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah sama sejak 2008, dan perancangan kerajaan negeri dalam lima tahun akan datang bakal membantu rakyat setempat dalam pelbagai sektor.

Mengulas mengenai jumlah ternakan dalam projek ternakan ladang babi moden itu berliau berkata, ia hanya dihadkan 250,000 ekor sahaja pada satu masa dan tidak boleh lebih daripada itu.

“Pengusaha yang bakal mengusahakan ternakan itu akan duduk sekali dalam satu pasukan mengusahakan ternakan secara moden dan tiada lagi istilah ternakan babi bersepah di sekitar Dun Tanjung Sepat.

“Saya yakin penduduk dan penternak menunggu keputusan yang terbaik untuk mereka meneruskan kehidupan lebih-lebih lagi banyak pembangunan pelancongan sedang dibangunkan di kawasan sekitar,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali pernah memaklumkan, terdapat pihak ditugaskan untuk meneliti syarikat terlibat sebelum memilih syarikat mana yang sesuai bagi memastikan projek itu dilaksanakan walaupun dalam tempoh jangka masa panjang.

Bagaimanapun, kerajaan negeri belum lagi memutuskan syarikat mana yang bertanggungjawab.

Sinar Harian difahamkan, mengikut rekod terdapat 132 pengusaha ternakan babi di Kuala Langat dengan jumlah kira-kira 250,000 ekor.

Namun jumlah tidak rasmi kini difahamkan sudah mencecah 300,000 ekor dan memerlukan lokasi sesuai secara berkelompok untuk penternakan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.