KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik jaminan bahawa kerajaan pusat akan memberikan layanan adil terhadap aspek pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, jaminan itu bukan hanya menyentuh soal gaji minimum tetapi juga meliputi perkara lain berkaitan pembangunan di Sabah.

“Saya tentunya akan berbincang bersama (Tun Dr Mahathir) mengenai perkara lain juga, apa yang kita minta bukan sahaja berkaitan mendapatkan gaji minimum sahaja.

“Tetapi kita juga bercakap mengenai populasi Sabah yang kecil dari segi jumlah, tetapi besar dari segi saiz,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Karnival Pekerjaan 5.0 sempena Kembara Kerjaya Sabah 2018, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata meskipun mempunyai populasi penduduk yang kurang namun keperluan mereka yang tinggal di kawasan terpencil tidak harus dipinggirkan untuk menikmati kemudahan asas.

“Saya gembira kerana perubahan harus dilakukan dan apa yang telah disebutkan sebelum ini akan dipenuhi. Ini adalah selaras dengan apa yang telah kita katakan sebelum pilihanraya,” katanya.

Semalam dalam sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyentuh mengenai pelaksanaan dasar dan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi layanan yang adil kepada Sabah dan Sarawak serta tidak membezakan kedua-dua negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Mengenai program karnival itu, Mohd Shafie berkata 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai sektor dan kategori jawatan.

Katanya program 'turun padang' itu memberi manfaat kepada pencari kerja untuk mendapatkan maklumat hasil daripada pameran melibatkan agensi kerajaan dan swasta.

Program yang diadakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Sabah itu akan menjelajah ke beberapa lokasi yang bermula di Kota Kinabalu hari ini sebelum ke Kudat, Kota Marudu, Ranau dan berakhir di Keningau pada 6 September ini. –Bernama