• Penduduk di hadapan tapak pembinaan yang berhampiran rumah mereka. Penduduk di hadapan tapak pembinaan yang berhampiran rumah mereka.
1 /

TAIPING - Penghuni hampir 40 rumah di jalan utama dan Lorong 15, Taman Berkat, di sini, hidup dalam kebimbangan apabila rumah mereka retak disebabkan aktiviti keluar masuk lori ke tapak pembinaan di kawasan berhampiran.

Wakil penduduk, Zulkifli Baharom, 54, berkata, bahagian lantai rumahnya retak termasuk di ruang dapur dan bilik tidur akibat pergerakan tanah yang berlaku di situ.

Menurutnya, surat aduan sudah dibuat kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) agar membuat kajian semula mengenai lori bermuatan tanah dan bahan binaan yang melalui jalan taman, di sini disekat.

"Pihak pemaju didakwa gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MPT dalam isi surat rasmi jabatan berkenaan bertarikh 15 April 2011 sehingga menimbulkan beberapa masalah termasuk keretakan pada dinding dan  lantai rumah, kerosakan dan mendapan pada jalan," katanya.

Selain itu, penduduk juga terdedah dengan pencemaran debu dan habuk yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah mengancam keselamatan mereka.

“Kita telah mencadangkan agar pihak pemaju mencari jalan alternatif untuk pergerakan keluar masuk lori ke tapak pembinaan di Mukim Jebong,” katanya.

Kamaruddin Razali, 65, berkata, lebih 40 penduduk telah menurunkan tanda tangan sebagai bantahan termasuk membuat tiga laporan polis secara serentak pada 20 Jun lalu atas kerosakan yang berlaku.

“Bagaimanapun, penduduk rasa kesal kerana belum ada tindakan dilakukan memandangkan lori-lori berkenaan masih meneruskan operasi seperti biasa.

“Sepatutnya pemaju membina jalan alternatif tanpa mengganggu ketenteraman penduduk selain membahayakan keselamatan kanak-kanak yang pergi dan balik ke sekolah,” katanya.

Aziz Ahmad, 43, berkata, MPT perlu bertegas dalam membuat keputusan agar pihak pemaju projek pembinaan membina jalan alternatif yang dicadangkan.

“Jika perkara ini terus berlaku, jalan utama penduduk keluar masuk akan terjejas teruk selain berlaku kerosakan seperti jalan berlubang dan retak.

“Kita berharap tindakan segera dilakukan sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak dingini yang akhirnya merugikan semua pihak termasuk membayar pampasan di atas kerugian penduduk yang terlibat akibat projek berkenaan,” katanya.


Hantar surat aduan dan bantahan

SEMENTARA itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mohamad Fadhil Idris berkata, pihaknya telahpun menghantar surat kepada MPT atas aduan yang diterima daripada penduduk setempat berhubung masalah rumah retak  dan pencemaran debu yang berlaku.

Menurutnya, setelah menjalankan pemantauan, pihaknya mendapati lori-lori yang menggunakan laluan utama penduduk di kawasan taman berkenaan dikenal pasti sebagai punca utama kerosakan berlaku.

“Kita amat berharap pihak MPT dapat segera bertindak sebelum masalah menjadi semakin serius jika terus dibiarkan tanpa perhatian tegas,” katanya.


MPT keluar surat henti operasi

PENGARAH Kejuruteraan MPT, Kamaruzzaman Kamari di dalam suratnya sebelum ini bertarikh 15 April 2012 kepada pihak pemaju berkata, pihaknya telah menerima surat permohonan untuk menggunakan jalan Taman Berkat oleh  pihak pemaju untuk kerja-kerja tanah skim perumahan di atas lot 1761.

Bagaimanapun, katanya, pihak MPT telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi termasuklah pemaju perlu meletakkan bonggol di beberapa lokasi yang ditentukan selain mematuhi syarat-syarat kelulusan kerja tanah.

Menurutnya, pemaju juga ditegaskan agar menyediakan ‘washing bay’ dan lain-lain peralatan berkaitan seperti 'high pressure water jet'. "Selain itu, pihak pemaju juga diingatkan agar meletakkan papan tanda lalu lintas mengikut arahan Teknikal Jabatan Kejuruteraan pada jalan keluar masuk dan persimpangan yang terdapat di taman tersebut.

“Bukan itu sahaja malah, kawasan laluan kenderaan perlu dipasang dengan papan tanda had laju iaitu 30 kilometer sejam dan menjadi tanggungjawab pemaju membaiki jalan yang dilalui jika berlaku kerosakkan dengan kadar segera  selain membersihkan kenderaan yang keluar ke jalan awam serta dala keadaan bertutup.

“Kita turut menyediakan had masa bagi laluan kenderaan yang hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengahari dan 2 petang sehingga 5 petang," katanya.

Kamaruzzaman ketika dihubungi Sinar Harian semalam, menegaskan pihaknya sedang menyediakan surat kepada pemaju bagi menghentikan segera pengangkutan lori dari melalui jalan taman tersebut sehingga pihak pemaju mengambil tindakan membina jalan alternatif seperti yang dibangkitkan penduduk kepada pihak MPT.