BAGAN DATUK - Di saat semua orang mula pulang bercuti bagi menyambut Aidilfitri Jumaat ini, kesempatan sama juga tidak dilepaskan warga Indonesia di negara ini.

Seawal pagi lagi kesemua rakyat negara itu mula membanjiri ruangan menunggu serta kaunter tiket feri dari Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang ke Tanjung Balai Asahan, Indonesia.

Malah ada kalangan antara mereka di terminal feri berkenaan dari malam kelmarin dan tidur di situ bagi menunggu giliran menaiki feri terakhir jam 11 pagi, semalam ke Tanjung Balai Asahan untuk pulang berhari raya bersama keluarga selepas mencari rezeki di sini.

Malah gelagat mereka juga cukup mencuit hati kerana membawa pelbagai barangan dari negara ini untuk dibawa ke kampung halaman bagi kegunaan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

Ada yang membawa pulang penghawa dingin, cat rumah, anak patung serta makanan segera di dalam bungkusan seperti ketupat, mi segera, kuih raya dan juga milo.

Semua barang itu dibeli menggunakan wang dikumpulkan hasil bekerja di negara ini buat memberi kemeriahan menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

Pulang tanpa suami, anak

Bagi Darlina Darwin, 39 dari Aceh Tamiang, Aceh Indonesia berkahwin dengan lelaki tempatan tidak menghalangnya pulang ke kampung halaman berhari raya bersama kedua-dua orang tuanya.

Namun kerana tidak mempunyai wang lebih dia terpaksa pulang sendirian tanpa membawa dua anak serta suaminya bagi Aidilfitri kali ini.

“Pada mulanya saya berat hati untuk pulang beraya tetapi memikirkan ibu dan bapa di kampung yang sudah lama tidak bertemu dan menantikan kepulangan saya, maka saya kuatkan diri pulang tanpa anak dan suami.

“Suami serta kedua-dua anak saya memahami dan mereka mengizinkan saya untuk pulang beraya di kampung halaman saya di Aceh Tamiang untuk lebaran kali ini,” katanya.

Dia berkata, perjalanan pulang beraya bukanlah mudah kerana selepas menaiki feri selama lapan jam dan tiba di Tanjung Balai Asahan dia perlu menaiki bas untuk ke Medan Indonesia yang mengambil masa lima ke lapan jam.

“Kemudian apabila saya sudah tiba di Medan saya perlu mengambil bas untuk ke Aceh yang juga mengambil masa lebih 12 jam dan ia adalah perjalanan yang begitu memenatkan.

“Tetapi demi beraya bersama keluarga dan merasa suasana beraya di kampung halaman yang lebih meriah berbanding di Malaysia saya kuatkan semangat pulang selain membawa beberapa keperluan untuk emak dan bapa saya,” katanya.

Darlina yang tinggal di Tapah bersama suami dan anaknya berkata, tidak semua makanan yang ada di Malaysia ketika berhari raya ada di kampung halamannya di Aceh seperti lemang yang begitu sukar ditemui.

“Biasanya kita akan hidangkan rendang, lontong, bakso dan makanan lain ketika menerima ziarah dari jiran sama saudara untuk dimakan bersama sambil berbual-bual.

“Di Aceh juga tidak ada budaya memberi duit raya di dalam angpau seperti di Malaysia kerana yang penting itu adalah ziarah ketika Lebaran untuk mengeratkan silaturahmi (silaturahim),” katanya.

Pulang selepas setahun

Masrul Mansur 28, berkata, dia begitu teruja untuk pulang ke kampung halaman di Tanjung Balai Asahan pertama kali selepas setahun bekerja di negara ini.

“Saya bekerja sebagai buruh kontrak di Pulau Pinang hampir setahun dan ini adalah pengalaman pertama pulang berhari raya selepas mengumpul wang buat keluarga di Indonesia.

“Saya berasa begitu gembira melihat ramai juga teman senegara yang sama-sama Mudik Lebaran untuk pulang beraya di kampung masing-masing selepas lama tidak pulang mencari wang,” katanya.

Seorang warga Indonesia membawa pulang patung teddy bear besar buat anaknya di kampung.

Menurutnya di Indonesia sesiapa yang bekerja jauh dari kampung halaman mereka dan pulang untuk menyambut Aidilfitri ia dipanggil sebagai Mudik Lebaran kalangan mereka.

“Mudik itu pulang ke kampung kerana banyak orang Indonesia itu kerjanya jauh-jauh seperti di Jakarta malah juga di Malaysia dan kerana itu bila lebaran dan mahu pulang kami akan gunakan mudik lebaran.

“Lagi satu suasana pulang beraya ke kampung halaman semasa mahu menyambut lebaran itu berbeda daripada pulang pada cuti biasa kerana tidak sesak dan meriah dengan macam-macam suasana,” katanya.

Ditanya apa yang dibawanya untuk menyambut Aidilfitri dari Malaysia, Masrul berkata, dia membawa pulang kuih raya dan nasi impit segera untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung selain cat untuk mengecat rumahnya.

“Keluarga saya tidak tahu saya mudik lebaran dan saya tidak mahu memaklumkan kepada mereka kerana mahu buat suprise supaya mereka terkejut melihat saya pulang,” katanya.

Tambang berpatutan

Sementara itu, Pegawai Keselamatan Kemudahan Pelabuhan, Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang, Abdul Aziz Shukor berkata, perkhidmatan feri ke Tanjung Balai Asahan disediakan tiga kali seminggu iaitu setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

“Manakala perkhidmatan feri dari Tanjung Balai Asahan ke Terminal Hutan Melintang pula adalah pada Isnin, Rabu dan Jumaat cuma disebabkan raya kita tutup perkhidmatan bermula esok (hari ini) hingga 23 Jun.

“Selepas itu barulah kami akan mula beroperasi untuk warga Indonesia serta rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat sana pulang semula ke negara ini bagi mula bekerja,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, hampir 5,000 warga Indonesia menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang, untuk pulang beraya tahun ini sejak pertengahan Mei lalu hingga semalam.

“Kesemua mereka ini pulang membawa pelbagai barang sebagai persiapan raya kebanyakannya adalah makanan serta pelbagai karenah mahu pulang beraya di kampung masing-masing.

“Terminal feri ini bukan hanya menerima warganegara Indonesia yang bekerja sekitar Perak malah juga luar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur yang memilih menggunakan feri berbanding kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata, tambang feri yang dikenakan kepada setiap penumpang adalah berjumlah RM220 bagi perjalanan pergi dan balik dan ia amat berpatutan berbanding menggunakan kapal terbang yang sedikit mahal apabila musim perayaan.

“Setiap hari raya puasa suasana di terminal feri ini memang meriah berbanding raya korban dan juga raya Cina kerana mereka berpusu-pusu pulang untuk beraya,” katanya.