IPOH – Tidak hairanlah Bandaraya Ipoh terkenal dengan jolokan bandar pencen apabila terdapat 70,000 warga emas tinggal di sini.

Namun 2,500 daripadanya dikesan menghidap dementia dan hanya 10 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan di pusat jagaan harian di Jalan Foo Choong Nyit, di sini.

Pengerusi Dementia Society Perak, Profesor Dr Esther G Ebenezer berkata, pihaknya menganjurkan aktiviti amal memory walk untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit yang dianggap sebagai sebahagian proses penuaan.

“Masyarakat masih kurang kesedaran dan kefahaman akan penyakit ini hingga ramai warga emas menderita kerana mereka sering ketinggalan daripada mendapat bantuan penjagaan yang sewajarnya.

“Dementia dikategorikan sebagai penyakit otak yang menjejaskan keupayaan berfikir dan mengingati secara beransur-ansur hingga mempengaruhi keupayaan berfungsi secara normal,” katanya selepas melepaskan peserta memory walk di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Menurutnya, penyakit itu mempunyai simptom termasuk masalah emosi dan komunikasi hingga menjejaskan pertuturan, gagal mengingati wajah atau objek yang dikenali sebagai nyanyuk.

“Dementia boleh dikawal dengan baik menerusi diagnosis dan rawatan awal. Kita menghadapi cabaran untuk menjaga apabila hanya empat pusat jagaan dibina di semenanjung iaitu di Ipoh, Petaling Jaya, Johor Bahru dan Seremban.

“Memory walk ini juga bertujuan mendapatkan dana untuk pentadbiran pusat penjagaan baharu di Jalan Lang, Off Jalan Padang Tembak. Kita merancang membina bangunan dua tingkat dengan kemudahan lengkap,” katanya.

Dr Esther berkata, pusatnya memerlukan kira-kira RM10,000 setiap bulan untuk ia berjalan lancar dengan anggaran 20 hingga 25 pesakit menghadiri pusat penjagaan dari semasa ke semasa.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.