• Ganeson (kiri) meninjau longgokan sampah di jalan Hutan Melintang-Sungai Tiang. Ganeson (kiri) meninjau longgokan sampah di jalan Hutan Melintang-Sungai Tiang.
1 /

HILIR PERAK - Longgokan sampah haram kira-kira sepanjang 100 meter di bahu jalan Hutan Melintang-Sungai Tiang, di sini, yang masih belum selesai mengundang rasa kurang senang penduduk di kawasan itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk R Ganesan berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dilihat semakin serius.

Menurutnya, bukan sahaja mengundang pemandangan kurang enak malah menyumbang kepada masalah pencemaran bau.

"Longgokan sampah ini menyebabkan pengguna jalan raya kurang selesa, malahan boleh menjatuhkan imej kawasan Hutan Melintang khususnya.

"Kita sedia maklum, tahun ini adalah Tahun Melawat Perak sekali gus ia memberi tanggapan negatif kepada pelancong yang datang melawat di kawasan Dun Hutan Melintang," katanya.

Dalam pada itu, Ganesan berkata, pengguna juga boleh terdedah kepada bahaya longgokan sampah berkenaan.

"Botol-botol kaca yang dibuang boleh mengakibatkan tayar kenderaan pancit sekali gus mengundang kepada kemalangan.

“Selain itu, pembakaran sampah secara terbuka boleh menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, ada penduduk sekitar di kawasan itu mengadu akan masalah berkaitan longgokan sampah itu.

Katanya, pihaknya juga telah memanjangkan perkara itu kepada pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Daerah bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kita juga mencadangkan supaya beberapa tong sampah bersaiz besar disediakan bagi memudahkan penduduk membuang sampah," katanya.

Tambahnya, pihaknya bersama beberapa agensi lain kini sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu penduduk.

“Saya juga tidak mahu longgokkan sampah ini boleh menjejaskan keselamatan penduduk apatah lagi ia boleh memburukkan nama Hutan Melintang sebagai satu pelabuhan pendaratan ikan antara terbesar di negeri ini,” katanya.